PERKHIDMATAN ubah suai dan membaiki pakaian kini dimonopoli oleh warga asing. Walaupun semakin hari semakin tinggi permintaannya, lagi-lagi ketika musim puncak seperti menjelang perayaan atau permulaan sesi persekolahan.
Permintaan perkhidmatan ini semakin hari semakin banyak kerana masyarakat hari ini cenderung membeli belah secara dalam talian, apabila pakaian yang dibeli itu tidak boleh dicuba maka mereka akan menggunakan perkhidmatan ubah suai ataupun alter.
Ubah suai pakaian ini bukanlah pilihan untuk masyarakat hari ini walaupun boleh memberi pulangan pendapatan yang lumayan antara RM1 hingga RM20 bagi setiap ubah suai.
Pendidikan Sains Rumah Tangga patut menjadi sebahagian daripada kurikulum kerana memberi manfaat dalam membentuk kemahiran asas sejak usia muda, tetapi juga berpotensi menjana pendapatan sampingan atau sebagai kerjaya, seperti disebut oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rahimah Jamaluddin.
Namun dalam era moden ini, pendidikan ini tidak lagi diberi penekanan, meskipun ia merupakan bidang ilmu yang sangat bermanfaat. Oleh yang demikian adalah penting untuk memperkenalkan mata pelajaran ini kepada anak-anak seawal usia enam tahun bagi membentuk karakter, tanggungjawab dan jati diri mereka.
Pendedahan yang tidak seberapa di peringkat sekolah menyebabkan pelajar kurang berminat untuk mempelajari dan memilih Pendidikan Sains Rumah Tangga sebagai pilihan utama. Ini kerana persepsi negatif terhadap mata pelajaran ini menyebabkan banyak sekolah tidak menawarkan subjek tersebut. Bahkan masih terdapat pentadbir sekolah beranggapan pendidikan ini hanya sesuai untuk pelajar yang lemah akademik dan malas.
Kementerian Pendidikan mengklasifikasikan mata pelajaran Sains Rumah Tangga di bawah kumpulan elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) (Sains Gunaan dan Teknologi) bermula 2020 seperti yang dinyatakan dalam Pekeliling Ikhtisas KPM Bil. 6 Tahun 2019. Ini menunjukkan mata pelajaran ini juga sama penting dalam pembangunan negara, setanding mata pelajaran elektif STEM yang lain.
Ketiadaan kemahiran asas ini juga boleh menyumbang kepada kepincangan dalam institusi keluarga, terutama yang melibatkan aspek pengurusan rumah tangga yang dipandang ‘remeh’ oleh segelintir masyarakat. Selain itu, kemahiran ini tidak memihak kepada mana-mana jantina dan sesuai untuk dipelajari oleh semua.
Terdapat naratif yang mengaitkan tugas memasak, menjahit dan mengemas rumah adalah tanggungjawab suri rumah tangga. Namun, pendidikan Sains Rumah Tangga bukan hanya untuk suri rumah tangga sebaliknya, ia turut menyediakan laluan kerjaya yang lebih luas dalam konteks Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET.)
Kemahiran penyediaan makanan bukan sekadar memasak malah melibatkan pengurusan perbelanjaan dapur dan keperluan rumah. Pembersihan dan penyelengaraan tempat tinggal perlu dipelajari oleh umum kerana kemahiran ini tidak hanya melibatkan pengetahuan tentang cara pembersihan dan membaiki peralatan, tetapi dapat menjana pendapatan.
Oleh yang demikian, dengan memberi pendedahan awal, kita bukan sahaja membina kemahiran asas tetapi juga menyemai minat serta kebolehan anak-anak terhadap bidang TVET, sambil menanam nilai-nilai penting yang diperlukan untuk menguruskan kehidupan dan keluarga dengan lebih berkesan.-UTUSAN
NUR SYAMILA KAMARUL AREFIN
Universiti Putra Malaysia (UPM)










