BULAN Oktober ini ramai yang akan memulakan hidup baharu sebagai mahasiswa dan mahasiswi di universiti awam mahupun universiti swasta.
Sememangnya kita mengharapkan agar mahasiswa dan mahasiswi yang menamatkan pengajian dalam apa bidang sekali pun akan mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian di universiti. Namun hakikatnya, universiti tidak menjanjikan pekerjaan apabila tamat pengajian.
Sebenarnya selain menyediakan pelajar mendapat ilmu dalam bidang yang telah ditetapkan, universiti juga adalah suatu wadah bagi menjadikan seseorang itu menjadi lebih matang dengan sifat kemanusiaannya. Universiti akan mengajar pelajar menjadi lebih matang dalam kehidupan dan mampu mengembangkan potensi dirinya yang sebenar.
Di universiti, para pelajar bukan hanya belajar subjek akademik untuk mendapat A semata-mata, tetapi dalam proses pembelajaran itu pelajar juga akan belajar bekerjasama, menghormati pendapat orang lain, memahami budaya orang lain serta pelbagai kemahiran sosial lain yang membantu membentuk kemenjadian seorang insan yang berjiwa matang dan positif. Di sinilah pelajar belajar menjadi pemimpin dan belajar menghormati pendapat orang lain. Di universiti jugalah para pelajar akan belajar mengenai kehidupan yang sebenar. Ini akan membantu pelajar bersedia menghadapi pelbagai cabaran apabila mereka tamat pengajian kelak.
Dari sudut kerjaya pula, pelajar akan disedarkan bahawa peluang kerjaya itu adalah pelbagai. Peluang kerjaya bukan hanya dengan makan gaji semata-mata. Pelajar akan didedah untuk mempunyai sikap keusahawanan dan membina kerjaya baharu yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada orang lain. Sepanjang pengajian juga, pelbagai kursus peningkatan kemahiran atau lebih dikenali sebagai up skilling dan reskilling diperkenalkan di universiti. Ini akan memberi nilai tambah kepada bakal graduan bagi memasuki alam pekerjaan kelak. Ini bermakna graduan tidak semestinya bekerja dalam bidang pengajian yang mereka pelajari, tetapi juga dalam bidang lain yang mampu menarik minat majikan untuk bekerja dengan mereka. Umpamanya, ada graduan yang dalam bidang kejuruteraan tetapi bekerja dalam bahagian pengurusan di sebuah syarikat.
Secara keseluruhannya, minggu-minggu awal ini adalah satu tempoh yang membantu pelajar membuat penyesuaian di universiti. Jika pengalaman penyesuaian ini adalah menyeronokkan maka adalah lebih mudah bagi mereka membuat penyesuaian akademik seterusnya. Oleh itu para ibu bapa, pihak fakulti, terutamanya para pensyarah seharusnya dapat membantu para pelajar membuat penyesuaian yang baik di peringkat awal ini. Kepada para pelajar pula, anda perlu berfikiran terbuka dan perlu yakin bahawa pengalaman pembelajaran di universiti akan membantu anda membuat pilihan yang tepat pada masa akan datang.
Namun, sekiranya anda begitu tertekan dengan kehidupan di universiti serta ditambah pula dengan isu minat terhadap bidang pengajian anda, maka anda wajar berbincang dengan kaunselor di universiti bagi membantu anda membuat pilihan yang terbaik dalam perjalanan hidup anda di universiti. Namun, anda seharusnya memandang jauh ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi.
Ambillah peluang untuk menimba pengalaman hidup sebenar semasa di universiti. Hakikatnya, masih ramai yang layak masuk ke universiti tetapi mereka tidak mendapat peluang itu kerana tempat yang terhad. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SALLEH AMAT
Pengarah Pusat Pembangunan Karier, Universiti Kebangsaan Malaysia










