“Bumi ini bukanlah tinggalan nenek moyang, tetapi pinjaman anak cucu kita”. Kata-kata ini seharusnya mengingatkan kita semua tentang tanggungjawab menjaga alam sekitar terletak di bahu setiap generasi.
Dengan perubahan iklim yang semakin ketara, dunia kini berada di persimpangan yang kritikal. Pemanasan global, hasil daripada aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab, mengancam kesejahteraan alam sekitar dan kehidupan generasi akan datang.
Kita boleh mengambil langkah proaktif untuk membantu mengurangkan pemanasan global. Langkah pertama ialah dengan mengurangkan penggunaan tenaga. Ini termasuk mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, menggunakan alat berkecekapan tenaga dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar. Dengan cara ini, kita bukan sahaja mengurangkan bil elektrik, tetapi juga membantu mengurangkan pelepasan karbon yang dihasilkan loji janakuasa.
Selain itu, langkah menggunakan pengangkutan awam, berbasikal atau berjalan kaki jika destinasi berdekatan amat membantu usaha ini. Lebih baik lagi, pertimbangkan untuk memiliki kenderaan elektrik (EV) yang lebih mesra alam.
Selain itu, kita boleh menyelamatkan bumi dengan menyertai program penanaman pokok. Pokok bukan sahaja membantu mengurangkan karbon dioksida di atmosfera, tetapi menyediakan oksigen untuk bernafas.
Satu lagi amalan yang boleh membantu ialah mengurangkan pembaziran dan menggalakkan kitar semula. Setiap kali kita membeli barangan baharu, kita secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan pengeluaran karbon kerana proses pengeluaran dan penghantaran barangan tersebut menghasilkan gas rumah hijau.
Beralih kepada amalan pemakanan, industri pertanian juga menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau terutamanya metana daripada ternakan. Dengan mengurangkan pengambilan daging dan produk haiwan, kita dapat menyumbang pengurangan pelepasan metana.
Mengamalkan diet berasaskan tumbuhan bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi juga untuk alam sekitar. Setiap kali kita memilih makanan yang lebih mesra alam, kita sebenarnya menyumbang kepada kelestarian bumi.
Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat adalah kunci untuk memastikan usaha mengurangkan pemanasan global berjalan lancar. Kerajaan boleh melaksanakan dasar hijau yang ketat dan memberi insentif kepada syarikat yang mempraktikkan amalan mesra alam. Pada masa yang sama, syarikat perlu bertanggungjawab dalam mengurangkan jejak karbon dengan menggunakan teknologi yang lebih bersih dan mengurangkan sisa buangan.
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Pengurus Kanan,
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Kumpulan Interflour










