ADA kontraktor pembersihan masih menganggap bidang pembersihan sebagai perniagaan dengan bermatlmatkan keuntungan dan bukan profesion yang mengutamakan kualiti perkhidmatan. Pada masa sama, masih terdapat pelanggan berpuas hati asalkan ada pekerja yang memegang penyapu dan mop tanpa menilai hasil kerjanya.
Yang perlu ditransformasikan ialah sikap kontraktor pembersihan supaya menghormati bidang ini sebagai satu profesion dan persepsi pelanggan yang berpuas hati setakat ada pekerja yang memegang penyapu dan mop. Manakala kerajaan perlu fokus kepada matlamat transformasi iaitu peningkatan kualiti perkhidmatan dan bukan semata-mata untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing.
Sekiranya menghormati bidang pembersihan sebagai satu profesion, kita perlu bersedia melatih tenaga pekerja yang ada. Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM) telah membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan bagi Perkhidmatan Pembersihan (SKPK) sejak 2009.
Dokumen yang menggariskan kompetensi perlu ada pada setiap kategori kakitangan dan pekerja, dari pekerja am hingga ke pengurusan syarikat.
Kakitangan dan pekerja-pekerja yang dilatih perlu diuji kemahirannya dan dipersijilkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) oleh Kementerian Sumber Manusia. SKM Tahap 5, Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia diiktiraf oleh kerajaan setaraf dengan ijazah bagi bidang kemahiran.
Hasil kerja pekerja-pekerja yang mencerminkan prestasi kontraktor perlu dinilai berdasarkan standard kebersihan yang disediakan. Untuk itu MACM menyediakan draf standard kebersihan, yang dipersijilkan Jabatan Standard Malaysia sebagai MS2550:2014 Prestasi Pembersihan Bangunan Awam dan Komersial. Di ikuti dengan MS2757:2022 Perkhimatan Pemberishan Untuk Fasiliti Penjagaan Kesihatan. Ia adalah standard kebersihan khusus untuk hospital, klinik dan pusat-pusat perubatan.
Sebagai satu profesion, kontraktor seharusnya lebih peka dan mahir dalam memilih dan menentukan pendekatan yang paling berkesan untuk menghasilkan kualiti kerja terbaik dan tidak terikat dengan bilangan pekerja yang perlu dibekalkan. Oleh kerana itu MACM menyambut baik usaha kerajaan untuk mentransformasi kontrak pembersihan berdasarkan bilangan pekerja kepada berasaskan prestasi.
Kontrak pembersihan berasaskan prestasi memberi kebebasan kepada kontraktor untuk menentukan bilangan pekerja diperlukan, perkakas dan peralatan yang akan digunakan dan kaedah kerja yang akan dilaksanakan, dengan matlamat untuk mencapai kualiti terbaik dengan kos paling rendah. Kontraktor mempunyai pilihan untuk menggunakan inovasi dan teknologi terkini yang lebih produktif dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.
Banyak lagi usaha perlu dijalankan bagi memastikan bidang pembersihan diterima sebagai satu profesion. Kualiti perkhidmatan seharusnya menjadi keutamaan dan keuntungan sebagai hasil dari kualiti perkhidmatan yang dibekalkan. Manakala pelanggan lebih menghargai kebersihan dan sanggup membayar harga untuk kebersihan yang berkualiti.
MACM yakin dengan kesedaran kontraktor-kontraktor khususnya ahli-ahli tentang tanggungjawab terhadap profesion yang diceburi dan kesediaan pelanggan untuk membayar harga pembersihan serta sokongan dari kerajaan, usaha untuk memartabatkan industri pembersihan sebagai satu profesion akan tercapai. Hasilnya ialah Malaysia yang lebih bersih, sihat dan selesa.-UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM)










