Bahaya batu api dalam masyarakat

Bahaya batu api dalam masyarakat

Setiap rumah tangga menghadapi cabarannya sendiri dan sebagai netizen tidak seharusnya ‘menambah garam pada luka’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCERAIAN merupakan isu sensitif yang kian mendapat perhatian, bukan sahaja dalam kalangan mereka yang terlibat tetapi juga orang ramai yang sering menjadi ‘pemerhati’ dan ‘pengulas’ di media sosial.

Namun, dalam keadaan seperti ini, peranan netizen dilihat sebagai ‘batu api’ atau punca ketegangan boleh menjadi lebih bahaya daripada isu perceraian itu sendiri.

Dalam Islam, kita ditegah daripada terlibat dalam hal-hal yang tidak memberi manfaat. Nabi Muhammad bersabda: “Di antara tanda-tanda baiknya keislaman seseorang adalah dia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Terdapat hadis lain yang memberi amaran keras kepada mereka yang sengaja menjadi penghasut atau ‘batu api’: “Tidak akan masuk syurga orang yang menjadi penghasut (batu api).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memperingatkan kita tentang perbuatan menghasut, menyebarkan fitnah atau memecah-belahkan hubungan manusia adalah dosa besar.

Dalam konteks perceraian, menyebarkan maklumat atau membuat spekulasi tanpa asas bukan sahaja mencampuri urusan orang lain, malah boleh merosakkan hubungan yang sedang bermasalah, sekali gus memburukkan keadaan dan menyumbang kepada perceraian yang mungkin boleh dielakkan.

Sebagai umat Islam, kita harus sentiasa ingat adab dan tanggungjawab dalam berkata-kata, sama ada dalam kehidupan harian atau di alam maya.

Mengkritik tanpa asas, memaki atau menjadi punca perpecahan bukanlah sifat seorang Muslim yang baik. Sebaliknya, kita dituntut menjaga lidah dan tangan daripada melakukan perkara yang tidak mendatangkan kebaikan atau membawa keburukan kepada orang lain.

Peningkatan kes perceraian dalam masyarakat hari ini memerlukan kita merenunginya dengan penuh kesedaran.

Setiap rumah tangga menghadapi cabarannya sendiri dan sebagai netizen tidak seharusnya ‘menambah garam pada luka’. Dalam Islam, menjaga keharmonian antara suami isteri sangat dituntut.

Jadi, elakkanlah dari menjadi seorang ‘batu api’ dan berusahalah menjadi netizen bijak dan beretika serta tidak melibatkan diri dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah.

Setiap kali kita ingin mengulas atau memberi pandangan, tanyakan pada diri, adakah ini akan membawa kebaikan atau keburukan. Jika lebih cenderung kepada keburukan, lebih baik kita berdiam diri. Dalam diam, ada hikmah dan menjaga lidah adalah kunci kepada keselamatan. – UTUSAN

DZULFAIDHI HAKIMIE DZULRAIDI
Calon Ijazah Kedoktoran (PhD) Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN