Sambutan Maulidur Rasul menjadi keperluan

Sambutan Maulidur Rasul menjadi keperluan

SAMBUTAN Maulidur Rasul dapat memberi motivasi terhadap kecintaan kepada Nabi sekali gus mempertingkatkan amalan dan sunnah Nabi berdasarkan ilmu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP tahun umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidur Rasul. Malah kerajaan memperuntukkan satu hari sebagai cuti umum khas bagi menyambut hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad. Pada tahun ini ia jatuh pada 16 September (semalam), bersamaan tarikh sambutan Hari Malaysia.

Walaupun sudah sekian lama sambutan Maulidur Rasul diadakan di Malaysia namun masih ada segelintir umat Islam yang tidak selesa dengan sambutan tersebut kerana dikatakan bidaah yang berlawanan dengan syarak.
Sambutan Maulidur Rasul tidak diperlukan di zaman Sahabat, Tabi’in, fuqaha mazahib dan Salifus Salih. Ini kerana mereka masih boleh mengikuti kisah siri teladan akhlak terpuji Nabi bahkan ia masih segar kerana zaman mereka tidak terlalu jauh berbanding zaman kita.

Begitu juga kerosakan yang berlaku di zaman kita adalah lebih besar jauhnya berbanding di zaman mereka akibat dari pelbagai pengaruh dan godaan serta tarikan dunia ketika ini. Salafus Salih adalah golongan yang bijaksana maka sudah tentu mereka tidak melakukan sesuatu yang tidak diperlukan ketika itu.

Di zaman kita, sambutan Maulidur Rasul diperlukan. Melalui sambutan itu sekurang-kurangnya generasi muda diberi motivasi terhadap kecintaan terhadap Nabi dan melalui kisah teladan terpuji membawa mereka ke arah mempertingkatkan amalan dan sunnah Nabi berdasarkan ilmu dan bukannya ikutan semata-mata.

Justeru, sambutan Maulidur Rasul adalah manifestasi cinta kita terhadap Nabi yang perlu diperbaharui setahun sekali bertepatan ayat 31 Surah Ali ’Imran yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihani Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihani kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.”

Sebenarnya Maulidur Rasul hanyalah uslub atau kaedah yang digunakan untuk menghayati cinta Nabi yang akhirnya menarik manusia mengikut sunnah Nabi. Mereka yang menegahnya, kerana terkeliru di antara uslub dan matlamat yang hendak dicapai dari pengisian yang dilakukan dalam sambutan tersebut.

Mereka hanya bertaklid dengan zaman silam para fuqaha, sedangkan keperluan terhadap sambutan Maulidur Rasul tidak wujud sama sekali ketika itu. Bukan semua hukum yang diputuskan melalui ijtihad di zaman silam perlu diabadikan buat selama-lamanya dalam kehidupan umat Islam, tanpa melihat kepada keperluan semasa dan setempat.

Dalam hal ini program sambutan Maulidur Rasul tidak memerlukan dalil kerana bukan ibadat khusus. Walaupun program tersebut tidak mengandungi dalil tertentu namun pengisian dan atur caranya masih bersandarkan dalil.
Bagi mereka yang melaksanakannya bersandarkan cinta kepada Nabi Muhammad maka ia diberi pahala. Mereka yang terlibat kerana ingin bersama-sama berzikir, bertasbih, bertahmid, bertahlil dan berselawat, diberi ganjaran pahala namun tidak boleh diiktiqadkan sebagai ibadat khusus.

Manakala mereka yang hadir semata-mata memenuhi jemputan dan meraikan majlis bersama pemimpin serta rakan taulan, bergembira dengan program tersebut paling tidak ia adalah harus dan tidak berdosa kerana tidak ada nas yang khusus menegahnya daripada hadir ke program tersebut. Demikian juga tiada nas yang menegah umat Islam dari bergembira dengan hari keputeraan Nabi. – UTUSAN

DR. RIDZWAN AHMAD
Jabatan Fiqh Dan Usul,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN