SAUDARA PENGARANG,
PADA 1 Oktober 2020, Kementerian Alam Sekitar dan Air ketika itu telah menubuhkan satu unit yang diberi nama Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS). Penubuhan unit ini dilihat sebagai salah satu usaha yang tepat dalam mencegah jenayah alam sekitar seperti pencemaran bau dan air mentah.
Persoalannya, mekanisma dan kaedah apa yang sesuai digunapakai oleh unit ini dalam memantau dan mencegah jenayah alam sekitar agar jenayah mencemarkan alam sekitar yang kebiasaannya dilakukan secara sengaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dapat dielakkan? Salah satu kaedahnya adalah dengan menggunapakai sistem IOT atau AI seperti penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Penggunaan sistem teknologi ini mampu untuk memantau dan mencegah jenayah pencemaran alam sekitar agar isu yang sama tidak berlaku berulang kali. Namun, bagaimana teknologi ini boleh digunakan dalam memantau dan mencegah jenayah pencemaran alam sekitar di negara ini?
Pemetaan dan analisa penampan (buffer analysis) GIS ini boleh digunapakai bagi memeta pembangunan di sepanjang sungai yang mana berkemungkinan menyalurkan sisa buangan mereka ke dalam sungai sekaligus mencemarkan air sungai dan alam sekitar berkenaan.
Melalui pemetaan dan analisa GIS ini juga pembangunan terlarang (illegal development) dapat dikenalpasti dan dipetakan. Pemetaan ini boleh menjadi asas rujukan sebagai data pemantauan yang perlu sentiasa dikemaskini (data lesen operasi, jenis kilang, luas kawasan dan sebagainya) agar mana-mana pembangunan yang dibangunkan di sepanjang atau dalam rizab sungai boleh dipantau dan dikenalpasti sebaiknya.
Kaedah analisa penampan (buffer analysis) ini juga boleh memetakan pembangunan sekitar mengikut jarak tertentu (sebagai contoh jarak radius 5km, 10km, 15km atau lebih).
Pemetaan hasil analisa ini mampu mengenal pasti pembangunan atau jenis guna tanah sekitar sungai yang berpontensi memberi ancaman dan mencemarkan sungai dan alam sekitar berkenaan.
Ancaman ini pula boleh diintepretasikan sebagai lokasi titik panas (hotspot) pembangunan atau guna tanah yang memberi ancaman kepada pencemaran alam sekitar berkenaan.
Justeru, hasil pemetaan lokasi titik panas ini, rondaan secara berkala boleh dilaksanakan oleh UCJAS yang secara tidak langsung mampu menangani jenayah alam sekitar di sepanjang sungai utama yang membekalkan bekalan air terawat kepada rakyat.
Kaedah rondaan secara berkala pula boleh menggunapakai teknologi UAV (drone) yang tidak memerlukan puluhan tenaga manusia malahan lebih efektif dan menjimatkan masa.
Kaedah dan teknologi seumpama ini perlulah dimanfaatkan kerana ia mampu menangani isu pencemaran yang kerap kali membelenggu rakyat.
Saban kali rakyat dibelenggu dengan isu pencemaran alam sekitar yang umpama menjadi “aktiviti atau acara tahunan” mereka. Sudah sewajarnya aktiviti atau acara tahunan pencemaran ini ditangani dengan lebih bijak dan menggunapakai teknologi seperti AI dan IOT ini.
Biarlah isu ini ditangani dengan kaedah mencegah dan bukan merawat (prevention is better than cure). Pencegahan jenayah alam sekitar seperti pencemaran air mentah dan bau ini perlu ditangani secara menyeluruh dan bukan sekadar menyelesaikannya mengikut kes-kes tertentu sahaja (case by case), bagai melepaskan batuk di tangga. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. JOHARI MOHD. YUSOF
Dekan Fakulti Rekabentuk dan
Senibina Universiti Putra Malaysia










