SAUDARA PENGARANG,
SEKOLAH adalah institusi asas yang penting dalam pembentukan jati diri dan identiti nasional. Melalui pelbagai program sambutan bulan kemerdekaan yang dilaksanakan di sekolah, ia dapat memperkukuh rasa cinta kepada negara dalam kalangan pelajar.
Aktiviti-aktiviti yang diadakan seperti dekorasi sudut sejarah di dalam kelas dan kuiz sejarah dapat mendidik pelajar tentang nilai-nilai murni seperti keberanian, semangat bekerjasama, ketabahan dan perpaduan.
Aktiviti seni seperti pertandingan busana kemerdekaan, melukis poster kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik dan mendeklamasi sajak partriotik juga dilihat sebagai platform untuk pelajar mengasah bakat dan kreativiti mereka di samping tampil berkeyakinan.
Tidak dapat disangkal penglibatan guru-guru dilihat sebagai penggerak utama dalam menjayakan program sambutan bulan kemerdekaan di sekolah.
Tidak terkecuali sokongan daripada kalangan ibu bapa dan masyarakat juga penting dalam menyokong dan mendorong anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.
Ini termasuklah sokongan dalam bentuk penyediaan bahan untuk aktiviti yang dilaksanakan, kehadiran pada majlis pelancaran sambutan, atau sekadar memberi galakan moral kepada anak-anak.
Dengan kerjasama antara sekolah dan ibu bapa serta komuniti, sambutan bulan kemerdekaan ini dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan di peringkat akar umbi.
Ia pasti menjadi satu acara yang dinanti-nantikan oleh semua pihak apabila tibanya bulan Ogos setiap tahun.
Sambutan bulan kemerdekaan di sekolah adalah lebih daripada sekadar satu acara tahunan tetapi semangat “Jiwa Merdeka” ini harus terus hidup dan diwarisi oleh generasi akan datang dan menjadi acara yang penuh makna dalam menyemai semangat patriotisme bagi setiap warganegara Malaysia. – UTUSAN
DR. NORSHAHNIZA SAHARI
Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Paya Jakas, Segamat, Johor.










