CADANGAN menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuka satu perbincangan penting tentang masa depan pembiayaan pendidikan tinggi negara.
Selepas hampir tiga dekad menjadi instrumen utama pembiayaan pendidikan tinggi, persoalannya bukan lagi sama ada PTPTN perlu dihapuskan atau dikekalkan. Sebaliknya, persoalan yang lebih besar ialah sama ada Malaysia sudah mempunyai model pembiayaan yang benar-benar lebih baik untuk menggantikannya.
Sejak ditubuhkan pada 1997, PTPTN menyalurkan lebih RM77.5 bilion pembiayaan kepada lebih 4.26 juta pelajar.
Model ini dibangunkan berasaskan konsep dana pusingan, iaitu bayaran balik peminjam terdahulu digunakan untuk membiayai generasi pelajar seterusnya. Oleh itu, sebarang cadangan menghapuskan pinjaman PTPTN bukan sekadar melibatkan peminjam, malah memberi implikasi kepada keseluruhan ekosistem pembiayaan pendidikan tinggi negara.
Isu pertama yang perlu diberikan perhatian ialah kelestarian sistem pembiayaan pendidikan tinggi. Jika pinjaman PTPTN dihapuskan, apakah mekanisme baharu yang akan menggantikan dana pusingan tersebut?
Universiti awam menerima subsidi kerajaan bagi menampung sebahagian kos sebenar pendidikan, namun pada masa sama turut digalakkan memperkukuh penjanaan pendapatan sendiri.
Reformasi pembiayaan perlu memastikan perubahan yang dilakukan tidak meningkatkan tekanan fiskal kerajaan atau menjejaskan kelestarian institusi pengajian tinggi (IPT).
Isu kedua ialah keadilan kepada semua generasi peminjam. Perbincangan mengenai penghapusan pinjaman tidak boleh hanya tertumpu kepada bakal pelajar. Kedudukan jutaan peminjam sedia ada juga perlu diberikan perhatian.
Sekiranya penghapusan hanya melibatkan peminjam baharu, adakah keadaan ini mewujudkan ketidakseimbangan antara dua generasi graduan? Sebaliknya, jika semua pinjaman dihapuskan, bagaimana pula dengan graduan yang telah bertahun-tahun berdisiplin membayar balik pinjaman mereka?
Persoalan ini menyentuh prinsip keadilan antara generasi yang menjadi asas penting dalam pembentukan dasar awam.
Isu ketiga ialah akses kepada pendidikan tinggi. PTPTN bukan sekadar membantu membayar yuran pengajian, malah turut menampung kos sara hidup seperti penginapan, makanan, pengangkutan dan keperluan pembelajaran.
Sebarang reformasi perlu memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan tinggi kerana kekangan kewangan.
Dalam masa sama, mekanisme penentuan kelayakan pembiayaan juga wajar diteliti supaya benar-benar mengambil kira keadaan sebenar pelajar dan keluarga, bukannya bergantung kepada satu ukuran semata-mata.
Satu lagi isu yang tidak kurang penting ialah insentif kepada kecemerlangan dan pembangunan modal insan. Dasar pengecualian bayaran balik kepada graduan Ijazah Kelas Pertama memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik.
Namun, model ini boleh diperkasakan agar bukan sahaja mengiktiraf pencapaian akademik, malah turut memberi insentif kepada graduan yang berkhidmat dalam profesion atau sektor yang dikenal pasti sebagai kritikal mengikut keperluan negara.

OPSYEN REFORMASI PEMBIAYAAN PENDIDIKAN TINGGI
Malaysia sebenarnya tidak ketandusan pilihan untuk mereformasi pembiayaan pendidikan tinggi. Antara model yang sering dibincangkan ialah Model Cukai Graduan, Model Pinjaman Berasaskan Pendapatan, Pemerkasaan Model Pinjaman Boleh Ubah serta Model Bayaran Balik Berasaskan Ganjaran.
Setiap model mempunyai kelebihan dan kekangan tersendiri. Sebagai contoh, model pinjaman berasaskan pendapatan membolehkan graduan membuat bayaran balik mengikut kemampuan kewangan semasa, manakala model pinjaman boleh ubah pula memberi insentif kepada graduan yang memenuhi kriteria tertentu seperti kecemerlangan akademik atau sumbangan kepada sektor kritikal negara.
Namun begitu, persoalannya bukanlah model mana yang paling baik, sebaliknya bagaimana Malaysia dapat membangunkan satu sistem pembiayaan yang sesuai dengan konteks sosioekonomi negara.
Pendekatan yang lebih praktikal ialah membentuk model hibrid yang menggabungkan kekuatan beberapa mekanisme pembiayaan agar sistem yang diwujudkan bukan sahaja mampu memperluas akses kepada pendidikan tinggi, malah kekal adil kepada peminjam, mampan dari segi kewangan dan berupaya memenuhi keperluan pembangunan modal insan negara pada masa hadapan.
KE ARAH DASAR PEMBIAYAAN PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL
Perbincangan mengenai penghapusan pinjaman PTPTN juga seharusnya menjadi titik permulaan kepada pembentukan Dasar Pembiayaan Pendidikan Tinggi Nasional yang lebih menyeluruh.
Dasar ini tidak seharusnya bergantung kepada satu instrumen sahaja, sebaliknya mengintegrasikan pelbagai mekanisme pembiayaan seperti pinjaman pendidikan, biasiswa, bantuan sara hidup, endowmen universiti, wakaf pendidikan dan kerjasama strategik bersama industri.
Pendekatan sedemikian akan menjadikan sistem pembiayaan pendidikan tinggi lebih fleksibel, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Cadangan menghapuskan pinjaman PTPTN wajar dilihat sebagai peluang untuk menilai semula keseluruhan landskap pembiayaan pendidikan tinggi negara. Pendidikan tinggi merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan.
Oleh itu, setiap reformasi perlu dilaksanakan berasaskan bukti, penelitian yang menyeluruh dan keseimbangan antara akses pendidikan, keadilan kepada semua generasi peminjam, kelestarian institusi serta kemampuan fiskal negara.
Reformasi yang baik bukan diukur melalui keberanian menghapuskan sesuatu dasar tetapi melalui keupayaan membina sistem yang lebih baik untuk menggantikan sistem sedia ada. –UTUSAN
DR. Nur ‘Adnin Syamil Halik Bassah ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Pendidikan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).










