Jangan politikkan keselamatan awam

Jangan politikkan keselamatan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARANGAN minum arak di tempat awam merupakan perkara biasa di banyak tempat di dunia.

Langkah larangan ini memberi kebaikan kepada semua pihak, khususnya masyarakat.

Amerika Syarikat (AS) walaupun dikenali dalam hal perlindungan kebebasan peribadi juga tidak terkecuali dalam hal ini.

Walaupun negara itu jarang mencampuri tindakan sivik awam rakyatnya, namun tetap melarang pengambilan arak di tempat awam.

Oleh itu, tindakan melarang pengambilan arak di tempat awam oleh kerajaan sebuah negeri di negara ini tidak lama dahulu, bukan sahaja harus disokong kuat malah perlu diteladani sepenuhnya oleh kerajaan negeri lain.

Pun begitu, larangan itu dibantah kuat sejurus diumumkan dan kini mahu dipolitikkan pula dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri berkenaan. Seperkara yang sangat menyedihkan kerana dalam keinginan mempolitikkan larangan itu ialah kesudian golongan muda sebuah parti politik Cina.

Sehubungan ini, golongan muda yang dijolokkan sebagai harapan bangsa dan negara, nampaknya bukan sahaja langsung tidak boleh dipercayai, malah tiada apa-apa kebijaksanaan yang boleh diikuti. Ini kerana perkara seserius ini, yakni pengambilan arak di tempat awam dengan pelbagai kemudaratannya, tidak dapat dipertimbang dengan betul lagi baik oleh golongan muda daripada etnik Cina pada parti politik itu.

Alasan khusus yang diberikan juga meleset, iaitu larangan itu menjejaskan sektor pelancongan, khasnya di kawasan pantai tertentu yang masyhur di negeri itu.

Ia tuduhan yang bukan sahaja salah kerana perangkaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) menunjukkan keadaan sebaliknya apabila mendedahkan peningkatan pengunjung setelah dikuatkuasakan larangan itu, memberangsangkan lagi.

Ia sangat masuk akal kerana masyarakat lebih berkeyakinan untuk ke kawasan pantai itu setelah adanya jaminan rasmi terhadap keselamatan mereka.

Sebelum larangan tersebut dikuatkuasakan, kawasan itu sememangnya sering dielakkan oleh orang awam atas faktor keselamatan. Antara insiden yang pernah berlaku ialah kecederaan dalam kalangan pengunjung akibat terkena serpihan kaca daripada botol minuman keras yang dipecahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya, banyak sekali gangguan awam berlaku akibat pengambilan arak termasuklah pengotoran kawasan pantai, tingkah laku tidak senonoh, pergaduhan akibat mabuk, selain orang awam takut apabila melihat suasana minum arak beramai-ramai secara terbuka.

Perkara yang amat mendukacitakan ialah walaupun bukti yang jelas dikemukakan namun masih terdapat segelintir golongan muda yang sanggup mempertahankan perbuatan salah tersebut. Hakikatnya, tindakan tersebut bukan berasaskan kebenaran atau fakta, sebaliknya didorong keinginan untuk terus membantah.

Perbuatan yang dilakukan mereka bukan sahaja janggal tetapi bebal. Ini kerana mereka ‘tidak waras’ untuk membezakan perkara betul lagi baik dengan yang sebaliknya. Justeru larangan itu tidak boleh sesekali dibantah atas apa-apa jua sebab dan dengan mana-mana cara oleh sesiapa sekali pun.

Ia kerana perbuatan larangan yang dikenakan pihak berkuasa sangat mulia untuk kebaikan semua pihak, termasuk golongan muda Cina yang membantah itu. Tindakan pihak berkuasa jelas untuk keselamatan awam, kebersihan persekitaran, penghormatan sensitiviti budaya serta agama dan penghindaran gangguan awam.

Dengan adanya larangan itu di negeri tersebut, semua tempat awam, termasuklah kawasan pantai yang masyhur kini selamat. Dengan ini, perbuatan merosakkan harta benda awam dan tindakan menakut-nakutkan orang awam ekoran keadaan mabuk, dapat ikut dikekang.

Persekitaran bersih daripada sampah sarap akibat minuman arak, sudah tentu baik untuk semua pihak. Dalam masa sama, bahaya minuman tersebut kepada kesihatan dan keselamatan dapat juga dicegah.

Pengambilan arak di tempat awam sudah tentu sangat tidak selari dengan status negara ini sebagai bumi Melayu-Islam. Ini kerana ia bertentangan sekali dengan ajaran Islam dan nilai budaya Melayu sebagai tunjang utama pada Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021.

Bunyi bising dan kelakuan tidak terkawal akibat pengambilan arak di tempat awam sudah pasti mengganggu ketenteraman serta menyebabkan orang ramai berasa kurang selesa untuk berkunjung.

Oleh itu, larangan pengambilan arak di kawasan awam wajar dikuatkuasakan bagi memastikan ruang tersebut kekal selamat, bersih dan kondusif untuk masyarakat bersantai, beriadah serta menjalankan pelbagai aktiviti rekreasi.

Tujuan tempat awam amat jelas, iaitu menyediakan ruang yang selesa, selamat dan bermanfaat untuk kegunaan semua lapisan masyarakat. Malangnya, masih ada pihak yang enggan memahami serta menerima hakikat tersebut.

Justeru, kawasan seperti taman permainan, pantai dan lokasi rekreasi lain perlu dipelihara agar terus menjadi ruang yang menyokong kesejahteraan masyarakat serta memelihara kelestarian persekitaran.

Di samping itu, tempat awam turut menggalakkan gaya hidup sihat melalui pelbagai aktiviti seperti berjalan kaki, berjoging dan bersukan. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah menyumbang kesejahteraan mental.

Dari sudut sosial pula, ruang rekreasi berperanan mengeratkan hubungan masyarakat kerana setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan sosioekonomi, mempunyai peluang yang sama untuk beriadah, berinteraksi dan memupuk semangat kebersamaan.

Sesungguhnya, tempat awam seperti taman permainan dan kawasan pantai merupakan antara ruang terbaik untuk kanak-kanak bermain dalam persekitaran yang selamat. Selain beriadah, mereka juga berpeluang meneroka persekitaran serta mengembangkan kemahiran motor dan koordinasi pergerakan.

Pengalaman ini penting bagi menyokong proses tumbesaran yang sihat, sekali gus menyumbang kepada perkembangan fizikal, mental dan emosi mereka.

 

BUKAN SEMUA PERKARA BOLEH DIPOLITIKKAN

Dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan oleh tempat awam kepada masyarakat, amat tidak wajar jika terdapat segelintir anak muda menjadikannya medan untuk berpolitik secara tidak bertanggungjawab.

Lebih mendukacitakan, ruang yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kesejahteraan bersama dieksploitasi bagi tujuan berkempen dan meraih sokongan politik melalui pendekatan yang tidak membina.

Pendekatan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan prinsip profesionalisme yang menuntut setiap individu bertindak secara beretika, matang dan bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan imej parti politik yang diwakili.

Tindakan yang mengundang persepsi negatif akhirnya bukan sahaja memberi kesan kepada individu terlibat, bahkan turut mencalar reputasi organisasi secara keseluruhan.

Sehubungan itu, keputusan sebuah gabungan politik tidak membenarkan parti itu menyertai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri berkenaan dilihat sebagai langkah yang tepat.

Tindakan tersebut bukan sekadar mengawal keadaan, malah mencerminkan komitmen parti dalam memastikan setiap kempen dilaksanakan secara berhemah serta tidak menjejaskan kepentingan masyarakat.

Pada masa sama, ia mengingatkan semua pihak bahawa bantahan terhadap sesuatu dasar atau tindakan hendaklah berasaskan hujah yang kukuh, bukannya sekadar didorong kepentingan politik atau keinginan untuk mencetuskan kontroversi.
Tindakan sedemikian mudah ditafsirkan sebagai langkah politik terdesak yang lebih bertujuan menyerang lawan daripada mengemukakan hujah yang membina.

Walaupun persaingan politik sememangnya lumrah dalam sistem demokrasi, namun setiap tindakan dan kenyataan wajar berasaskan pertimbangan yang rasional serta kepentingan masyarakat.

Tidak wajar mana-mana pihak menolak atau menyerang sesuatu dasar yang jelas membawa manfaat kepada orang ramai hanya kerana ia diperkenalkan oleh pihak lawan.

Larangan pengambilan arak di tempat awam, misalnya, bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif untuk semua lapisan masyarakat. Matlamat seperti ini seharusnya dinilai berdasarkan manfaatnya, bukannya melalui kaca mata politik kepartian.

Oleh itu, usaha memanipulasi isu tersebut demi meraih sokongan politik tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat. Sebaliknya, tindakan sedemikian hanya mengaburkan tujuan sebenar sesuatu dasar dan mengalihkan perhatian daripada kepentingan awam yang sepatutnya diutamakan.

Pengajaran penting daripada isu ini ialah ahli politik, khususnya generasi muda, perlu mempamerkan kematangan, kebijaksanaan dan tanggungjawab dalam setiap tindakan. Mereka sewajarnya mendahulukan kepentingan rakyat serta kesejahteraan negara, bukannya mengejar keuntungan politik jangka pendek.

Setiap pemimpin juga perlu membina jati diri sebagai negarawan sejak awal pembabitan dalam dunia politik. Ini bermakna setiap kenyataan dan tindakan hendaklah berasaskan prinsip, integriti serta komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat. Dengan pendekatan sedemikian, politik akan menjadi wadah membina negara, bukannya sekadar gelanggang persaingan yang mengorbankan kepentingan rakyat. –UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN