SELAMA lapan tahun (2000-2008) menerajui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), TAN SRI AB. RASHID AB. RAHMAN berada di barisan hadapan dalam menguruskan proses demokrasi negara.
Beliau turut berdepan pelbagai kontroversi, cabaran serta desakan untuk menambah baik sistem pilihan raya negara. Pengalaman itu menjadikan beliau antara tokoh berwibawa untuk memperkatakan soal integriti, ketelusan dan hala tuju reformasi pilihan raya.
Selepas menamatkan perkhidmatannya, Ab. Rashid diberi tanggungjawab mengetuai Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya yang mengemukakan 49 syor pembaharuan kepada kerajaan.
Walaupun cadangan itu masih belum dilaksanakan, beliau berpandangan usaha memperkukuh sistem pilihan raya tidak boleh terhenti kerana berkait rapat dengan keyakinan rakyat terhadap demokrasi negara.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, LAUPA JUNUS dan AQILAH MIOR KAMARULBAID, beliau menjawab pelbagai persoalan yang sering diperdebatkan rakyat, termasuk dakwaan penipuan pilihan raya, keperluan undi elektronik, persempadanan semula dan mengapa pembaharuan sistem pilihan raya tidak lagi boleh ditangguhkan.
Temu bual tersebut turut dibantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN.
UTUSAN: Bukankah sebelum ini Tan Sri menerbitkan sebuah Laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya? Apa jadi dengan laporan tersebut?
AB. RASHID: Laporan itu telah diserahkan kepada bekas Perdana Menteri, Tan sri Muhyiddin Yassin pada 2020 untuk pertimbangan. Malah saya turut diberi peluang membentangkannya selama kira-kira sejam bagi menjelaskan syor yang dikemukakan.
Kesemua cadangan disandarkan pada hasil penyelidikan, namun tidak semestinya semua 49 syor perlu dilaksanakan. Memadai jika kerajaan memilih cadangan yang paling relevan, termasuk menilai semula syor terdahulu yang masih sesuai dilaksanakan.
Pada pandangan saya, beberapa syor dalam laporan itu wajar diberi keutamaan kerana menjadi asas kepada pembaharuan sistem. Malangnya, sebahagian daripadanya tidak diteruskan berikutan proses yang kurang telus serta kebimbangan dalam kalangan pihak berkepentingan.
Antara cadangan penting yang diketengahkan adalah pembiayaan politik bagi memperkukuh integriti dan ketelusan sistem politik negara. Cadangan yang dikemukakan tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja, sebaliknya melibatkan pembaharuan menyeluruh terhadap keseluruhan proses dan sistem.
Memang sistem pilihan raya kita perlu ditambah baik?
Sistem sedia ada mendorong berlakunya pelbagai kelemahan dan menjejaskan keyakinan rakyat. Pembaharuan perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan institusi dapat berfungsi dengan bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
Semua faktor yang boleh menimbulkan persepsi negatif atau menjejaskan integriti perlu dihapuskan.
Maknanya, ada perkara-perkara yang ‘tidak bersih’?
Bukan semua individu dalam kerajaan tidak berintegriti tetapi sekiranya sistem tidak dibina dengan baik, rakyat akan terus hilang kepercayaan.
Sebaliknya, jika sistem dibangunkan secara telus dan berintegriti, pastinya keyakinan rakyat akan meningkat.
Individu yang jujur juga akan lebih mudah menjalankan tugas kerana mereka tidak perlu berdepan dengan kelemahan sistem. Jika terdapat perkara yang tidak betul, ia mesti diperbaiki dan bukannya dibiarkan berlarutan.
Apa cadangan Tan Sri?
Saya mendapati tahap penglibatan sebahagian ahli SPR masih kurang aktif. Saya turut mencadangkan supaya wujudkan garis panduan yang lebih jelas mengenai pemilihan ahli, struktur pasukan dan bilangan anggotanya bagi memastikan pelaksanaan tugas menjadi lebih berkesan.
Melalui catatan di Facebook, Tan Sri menyentuh tentang ahli politik hari ini membuat kerja-kerja kebajikan berbanding penggubal undang-undang, boleh terangkan lebih lanjut?
Tugas utama wakil rakyat adalah menggubal undang-undang, bukannya melaksanakan kerja kebajikan atau projek pembangunan.
Peranan mereka adalah membahaskan rang undang-undang, menyemak dasar kerajaan, mempertahankan kepentingan rakyat serta memastikan kementerian melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
Mereka bukan pegawai pelaksana yang bertanggungjawab membina jalan, membaiki longkang atau melaksanakan projek pembangunan.
Namun, masih ramai yang beranggapan ahli wakil rakyat perlu menyelesaikan semua masalah penduduk, menghadiri setiap program masyarakat dan mengurus pelbagai urusan harian. Akibatnya, wakil rakyat yang aktif berhujah di Parlimen tetapi kurang kelihatan di kawasan sering dianggap tidak menjalankan tugas.
Ahli Parlimen boleh membantu menangani isu di kawasan, namun keutamaan mereka ialah menggubal undang-undang yang berkualiti, memastikan kerajaan bertanggungjawab dan dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Sebenarnya berapa ramai wakil rakyat diperlukan dalam sesuatu kawasan?
Perkara ini berkait rapat dengan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bilangan kerusi Parlimen. Semakan semula persempadanan dan agihan kerusi wajar dilakukan secara berkala bagi memastikan representasi yang lebih adil. Dalam tempoh kira-kira 30 tahun, proses tersebut hanya dilaksanakan tiga kali.
Sudah tiba masanya prinsip kesaksamaan diberikan perhatian, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Memang wajarlah persempadanan semula dilakukan?
Saiz sesuatu kawasan pilihan raya tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah pengundi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keluasan geografi. Kawasan luar bandar lazimnya mempunyai pengundi yang lebih sedikit tetapi meliputi kawasan yang sangat luas. Keadaan ini menjadikan beban tugas wakil rakyat lebih mencabar, terutama jika mereka turut perlu menguruskan pelbagai urusan kebajikan masyarakat.
Sebagai contoh, Parlimen Kinabatangan merangkumi kawasan yang luas dengan sebahagian penempatan hanya boleh diakses melalui sungai. Ada kampung yang mengambil masa sehingga 7 jam atau berhari-hari untuk dikunjungi dan hanya dihuni sekitar 200 hingga 500 penduduk.
Walaupun tinggal di kawasan pedalaman serta bergantung kepada sumber semula jadi untuk meneruskan kehidupan, namun penduduk tetap memerlukan kemudahan asas seperti pendidikan, jalan raya dan perkhidmatan kerajaan. Justeru, wakil rakyat di kawasan seperti ini wajar diberikan sokongan serta sumber yang mencukupi agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Bukankah sudah tiba masa buat persempadanan semula? Kenapa agaknya kerajaan dilihat berdiam dalam isu ini?
Sebenarnya, SPR tidak diwajibkan membuat semakan persempadanan sebaik sahaja tempoh lapan tahun berakhir. Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan hanya menetapkan bilangan kerusi Parlimen, manakala semakan persempadanan boleh dilaksanakan apabila SPR berpendapat ia diperlukan.
Pertambahan kerusi Parlimen boleh dipertimbangkan sekiranya berlaku peningkatan ketara dalam jumlah penduduk dan pengundi. Namun, keputusan itu perlu berasaskan kajian menyeluruh yang mengambil kira pertumbuhan penduduk, taburan pengundi serta keluasan geografi, bukannya meniru model negara lain yang mempunyai keadaan demografi dan sistem politik berbeza.
Pada pandangan saya, negeri yang mencatat pertumbuhan penduduk dan pengundi yang tinggi seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah wajar diberi perhatian, di samping kawasan tertentu di Pantai Barat mengikut keperluan sebenar.
Namun, penambahan kerusi tidak seharusnya bergantung pada jumlah pengundi semata-mata. Hakikatnya, ahli Parlimen masih memikul peranan membantu menyelesaikan pelbagai isu kebajikan akibat kelemahan sistem penyampaian kerajaan, terutama di kawasan luar bandar yang mempunyai akses terhad kepada agensi kerajaan.
Maka, kawasan luar bandar wajar dipecahkan kepada kawasan pilihan raya yang lebih kecil bagi memudahkan wakil rakyat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan. Sebaliknya, ahli Parlimen di kawasan bandar seharusnya dapat memberi lebih tumpuan kepada tugas hakiki mereka, iaitu menggubal undang-undang, meneliti dasar kerajaan dan membahaskan agenda pembangunan negara di Dewan Rakyat.
Bagi pandangan Tan Sri, negara manakah yang memiliki sistem pilihan raya terbaik?
Jerman sebagai antara negara yang mempunyai pengurusan sistem paling baik. Ini kerana keseluruhan sistem mereka berjalan dengan teratur.
Saya ke Jerman sebanyak tiga kali dan melihat sendiri bagaimana mereka menguruskan proses tersebut. Apa yang menarik, mereka tidak banyak bergaduh atau mempertikaikan perkara kecil. Mereka menghormati proses yang ditetapkan. Mereka menentukan keputusan berdasarkan sistem yang jelas.
Selain Jerman, New Zealand dan Australia juga mempunyai sistem yang baik.
Negara-negara maju ini mempunyai satu sikap yang sama, iaitu mereka mahu melihat sistem berjalan dengan lancar.
Mereka tidak mencari ruang untuk menipu atau mengambil kesempatan. Tiada siapa yang sibuk mencari cara untuk memanipulasi sistem.
Bagi saya, sistem Amerika Syarikat (AS) masih belum setanding dengan Jerman.
Pun begitu, sistem pilihan raya Malaysia juga sebenarnya antara yang terbaik. Kita tidak boleh hanya menilai kelemahan negara lain kerana setiap negara mempunyai cabaran masing-masing.
Tan Sri bagaimana pula dakwaan tentang ‘blackout’ semasa pengiraan kertas undi, memang berlaku?
Bagaimana perkara itu boleh berlaku? Tidak pernah berlaku dan sekiranya berlaku gangguan, tentu menimbulkan persoalan besar.
Sebagai contoh, jika terdapat tiga calon atau tiga pihak yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu kawasan, keadaan mungkin menjadi tegang dan menyebabkan pertikaian.
Dalam keadaan sedemikian, saya akan turun sendiri untuk melihat apa yang berlaku. Saya akan menilai sama ada mereka mempunyai alasan yang munasabah untuk mempertikaikan sesuatu perkara.
Jika berlaku pergaduhan, tindakan boleh diambil.
Sebenarnya prosesnya mudah. Sekiranya berlaku kekecohan, proses boleh dihentikan sementara dan pegawai pengurus pilihan raya boleh dipanggil untuk menyelesaikan keadaan.
Tiada masalah besar sekiranya prosedur dipatuhi. Namun, jika sampai berlaku pergaduhan fizikal, itu sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Sesuaikan Malaysia melaksanakan undi elektronik untuk menambah bilangan pengundi di luar negara terutamanya?
Saya pernah cuba mengkaji dan mempertimbangkannya. Banyak negara sudah menggunakan atau mencuba sistem pengundian elektronik.
Namun, terdapat kebimbangan dalam kalangan sesetengah negara maju terhadap isu keselamatan sistem tersebut.
Saya tidak bermaksud menyinggung mana-mana pihak tetapi isu keselamatan tetap menjadi perhatian.
India pernah cuba sistem pengundian elektronik tetapi mereka tidak meneruskannya kerana timbul pelbagai tuduhan dan dakwaan berkaitan kemungkinan manipulasi.
Dengan perkembangan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), banyak perkara boleh dilakukan. Namun, jika sistem elektronik diperkenalkan tanpa kawalan yang benar-benar kukuh, mungkin mengundang lebih banyak kontroversi.
Saya pernah menghasilkan kertas kajian berkaitan perkara ini dan menyerahkannya kepada kerajaan.
Saya menjelaskan kita tidak semestinya perlu mengubah sistem sedia ada hanya kerana mahu mengikut trend teknologi. Apa yang lebih penting adalah keberkesanan sistem.
Kita sudah mempunyai keputusan dan rekod yang menunjukkan sistem sekarang mampu berfungsi. Sistem yang ada pada hari ini sebenarnya sangat cekap. Itu berdasarkan kajian yang saya lakukan.
Perkara yang perlu diberi perhatian ialah kita tidak boleh mengorbankan ketelusan dan keselamatan proses pilihan raya.
Perlu perkuatkan undang-undang tentang kempen fitnah semasa kempen pilihan raya?
Bentuk kempen perlu berubah dan dikawal. Kini banyak kempen dari rumah ke rumah dilakukan secara senyap sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi dan stigma.
Jika kempen dilakukan secara terbuka dan direkodkan walaupun di media sosial, seseorang mungkin lebih berhati-hati dengan apa yang dikatakan.
Namun, apabila kempen dilakukan secara senyap dari rumah ke rumah, ia menjadi lebih sukar untuk dikawal. Di sinilah betapa mudahnya fitnah dan duit ditabur.
Jadi, jawapannya amat perlu berdasarkan situasi hari ini yang semakin mencabar.
Bagaimana pula dengan isu dana pilihan raya parti?
Saya pernah mendengar dakwaan terdapat parti politik mempunyai jumlah wang yang sangat besar sehingga mencecah berbilion ringgit, malah ada yang mendakwa wang tersebut disimpan di luar negara.
Hakikat yang perlu difahami adalah hampir semua parti politik mempunyai sumber kewangan masing-masing. Penderma biasanya terdiri daripada syarikat besar.
Syarikat-syarikat ini memberikan sumbangan dengan harapan apabila parti tersebut menjadi kerajaan, hubungan dan kepentingan ekonomi mereka akan terpelihara.
Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia. Ia turut berlaku di negara lain seperti Britain dan Australia.
Parti politik menerima sumbangan tetapi mekanisme kawal selia berbeza antara negara.
Di United Kingdom (UK) misalnya, perkara paling penting adalah ketelusan. Semua sumbangan perlu diisytiharkan. Jumlah yang diterima perlu diketahui, di mana disimpan dan siapa yang memberikan sumbangan juga perlu diumum serta direkodkan.
Jadi, untuk Malaysia, perkara ini memang perlu dikawal kerana tiada parti politik yang benar-benar kecil dari segi keperluan kewangan.
Orang mungkin mengatakan parti kecil tidak menerima banyak sumbangan tetapi realitinya, semua parti memerlukan wang. Tanpa wang, sukar untuk bergerak. Tiada kenderaan. Tiada program. Tiada perjumpaan.
Masih dalam parti cuma jaga jarak
Tan Sri masih aktif berpolitik? Masih ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)?
Saya masih ahli Bersatu namun lebih banyak menjaga jarak.
Tujuan utama saya masuk politik untuk melihat dan memahami sendiri bagaimana keadaan sebenar dunia politik tanah air. Saya masuk politik untuk memahami perkara tersebut.
Apabila sudah berada dalam politik, barulah saya memahami realitinya.
Saya pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dan tewas. Lawan saya memberikan wang kepada setiap rumah. Beliau mempunyai sumber kewangan yang besar sementara saya pula hanya mempunyai sokongan biasa.
Saya ada ‘kenderaan’ tetapi tidak mempunyai wang yang banyak. Parti saya ketika itu masih baharu dan tidak mempunyai dana besar. Saya hanya menggunakan wang sendiri daripada hasil wang simpanan dan pencen.
Saya gunakan wang untuk membantu pekerja serta menguruskan kempen. Pernah terpaksa meminjam wang untuk membayar keperluan petugas tetapi untuk memberi kepada pengundi, saya tidak mampu melakukannya.
Berdasarkan situasi ini kita dapat melihat wang memainkan peranan besar dalam pilihan raya. -UTUSAN










