SAUDARA PENGARANG,
JURUTERA Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Batang Padang mulai 23 Ogos lalu mengubah jalan dua hala kepada jalan sehala di bandar Tapah, Perak.
Hingga kini perubahan jalan belum lagi distrukturkan sebaliknya hanya menggunakan penghadang jalan plastik dan batu konkrit yang diletakkan pada sepanjang jalan baharu dan dipasang papan tanda arah yang kecil saiznya.
Ia boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya, lebih-lebih lagi pada waktu malam.
Keadaan yang dilakukan JKR dilihat menyulitkan pengguna jalan raya yang perlu ‘masuk’ ke pekan Tapah dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dengan terpaksa melalui jalan sehala untuk menuju Kampar dan Bidor.
Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah Batang Padang membuat bantahan terhadap pembinaan jalan sehala ini.
Kajian juga mendapati belum pernah mana-mana kawasan atau jalan ‘dialih masuk’ ke kawasan pekan yang sesak.
Perubahan ini menyumbang kesesakan pada waktu puncak dan musim cuti perayaan.
Bahkan, pengguna juga perlu menambah kos petrol dan masa kerana laluan ini lebih panjang berbanding sebelum ini.
Bukan itu sahaja, tindakan JKR ini mengundang bahaya. Seperti kemalangan yang berlaku sebelum ini disebabkan papan tanda arah yang dipasang kecil dan mengelirukan.
Apakah pulangan daripada modal pelaburan (ROI) kesan perubahan jalan ini? Bolehkah dibuktikan usaha ini memberi manfaat kepada peniaga khususnya pekedai dan penjaja kecil melalui jalan sehala yang dibina di Tapah?
Oleh itu, kajian menyeluruh perlu dijalankan bagi mengkaji kesan perubahan mana-mana jalan ke sehala daripada pelbagai aspek terutama keselamatan orang ramai selaku pengguna jalan raya di bandar Tapah. – UTUSAN
TOH TAN DEWA SAKTI
Tapah, Perak










