PENDIDIKAN merupakan asas kepada pembangunan sesebuah negara dan masyarakat yang maju. Dalam konteks Malaysia, kita dapat melihat betapa pentingnya pendidikan kepada semua kaum, termasuklah bangsa Cina yang menunjukkan komitmen luar biasa terhadap pembangunan sekolah-sekolah mereka.
Dengan sumbangan kewangan yang kukuh daripada komuniti, sekolah vernakular mempunyai infrastruktur yang moden dan selesa.
Justeru, sudah tiba masanya masyarakat Melayu juga mengambil langkah serupa dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.
Salah satu faktor yang menjadikan sekolah Cina cemerlang adalah penglibatan aktif masyarakat dalam menyokong pendidikan. Masyarakat Cina yang berjaya dalam perniagaan atau berjaya dalam profesion sering menyumbang wang kepada sekolah. Ini termasuk sumbangan untuk pembinaan bangunan baharu, penyediaan kemudahan teknologi terkini serta peralatan pembelajaran yang canggih.
Dalam konteks sekolah kebangsaan, pergantungan sepenuhnya kepada bantuan kerajaan menyebabkan pembangunan sekolah terbatas. Bantuan yang diterima mungkin mencukupi untuk keperluan asas, tetapi tidak untuk menyediakan kemudahan yang lebih moden atau mempertingkatkan mutu pembelajaran. Dengan penglibatan komuniti yang lebih aktif, sekolah-sekolah kebangsaan boleh menikmati peningkatan dari segi kualiti infrastruktur dan juga program akademik.
Sumbangan dari kalangan individu yang berjaya dalam masyarakat Melayu boleh memberikan impak yang besar. Contohnya, usahawan Melayu yang berjaya boleh menyumbang kepada pembangunan makmal komputer atau perpustakaan. Dengan adanya kemudahan ini, pelajar dapat menikmati pembelajaran yang lebih berkualiti dan berpeluang menguasai kemahiran yang relevan dalam dunia digital.
Masyarakat Melayu juga boleh menyumbang dalam bentuk masa dan tenaga. Misalnya, ibu bapa boleh mengambil inisiatif untuk terlibat dalam persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) secara aktif. Mereka boleh membantu menganjurkan aktiviti-aktiviti penggalangan dana, program akademik tambahan atau bengkel kemahiran untuk para pelajar. Dengan adanya sokongan ini, sekolah kebangsaan dapat menawarkan lebih banyak aktiviti yang berfaedah dan mampu meningkatkan mutu pembelajaran pelajar secara keseluruhan.
Satu lagi langkah yang boleh diambil adalah melalui penubuhan yayasan pendidikan oleh komuniti Melayu. Yayasan ini boleh bertindak sebagai platform untuk mengumpulkan dana dan melaksanakan projek-projek pendidikan yang memberi manfaat kepada sekolah kebangsaan. Sumbangan boleh disalurkan secara lebih teratur dan sistematik, sekali gus memastikan sekolah mendapat sokongan yang berterusan.
Selain itu, masyarakat Melayu perlu mengubah persepsi terhadap pendidikan. Masyarakat yang berjaya dalam pelbagai bidang perlu melihat pendidikan sebagai satu pelaburan sosial yang penting. Pelaburan dalam pendidikan adalah untuk masa depan generasi akan datang dan akan memberi pulangan kepada masyarakat dalam jangka panjang.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN BIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam










