DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mengalu-alukan pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35), sebuah inisiatif yang menunjukkan komitmen jangka panjang untuk memperkukuh ekonomi bumiputera dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia.
Putera35 dibangunkan dengan tiga matlamat utama:
– Membangunkan bumiputera yang dinamik dan futuristik. Ini akan meningkatkan kapasiti dan daya saing bumiputera dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
– Menetapkan sasaran jelas untuk pengukuran penyertaan dan penguasaan ekonomi bumiputera. Ini bagi memastikan kemajuan dan pencapaian dalam penyertaan ekonomi bumiputera boleh diukur dan dinilai dengan jelas.
– Membangunkan mekanisme pemantauan berkesa. Hal ini dapat menyediakan sistem yang berkesan untuk memantau dan menilai pelaksanaan serta kejayaan pelan ini.
DPIM menyambut baik visi Putera35 berfokus untuk mengangkat darjat dan martabat bumiputera melalui penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi yang lebih bermakna. Pelan ini berteraskan tiga teras utama:
– Memperkukuh pasak ekonomi negara. Ini akan meningkatkan asas ekonomi negara melalui penglibatan aktif bumiputera dalam sektor-sektor strategik.
– Memperteguh kerukunan tatakelola dan institusi. Ini bagi memastikan integriti dan kecekapan dalam institusi yang menyokong ekonomi bumiputera.
– Menegakkan keadilan sosial. Ini bagi memastikan pelaksanaan dasar yang adil dan inklusif bagi seluruh rakyat Malaysia.
Putera35 merangkumi 12 pemacu dan 132 ikhtiar, yang memberikan panduan kepada agenda pemerkasaan bumiputera sehingga 2035, termasuk peluang dalam sektor berimpak tinggi seperti teknologi dan inovasi. Pelan ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada bumiputera tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani dan Agenda Pembangunan Lestari 2030.
DPIM menyeru penglibatan aktif semua dewan perniagaan dalam pelaksanaan Putera35 kerana ahli-ahli dewan perniagaan mempunyai kepakaran dan pengalaman mendalam dalam industri yang relevan. Kepakaran ini penting untuk program pembangunan usahawan yang lebih efektif dan strategik sejajar dengan matlamat dan visi Putera35.
Penglibatan dewan perniagaan akan memperkukuh kerjasama dan memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh. DPIM yakin dan percaya bahawa dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, Malaysia dapat mencapai matlamat Putera35 dan memperkasakan ekonomi usahawan bumiputera untuk masa depan yang lebih cemerlang dan makmur.-UTUSAN
DATUK MOHAMMAD SAHAR MAT DIN
Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia










