Belia tidak mahu sambung belajar?

Belia tidak mahu sambung belajar?

FAKTOR ekonomi menjadi punca ekoran ketidakmampuan keluarga belia lepasan SPM untuk menampung perbelanjaan kewangan bagi menyambung pengajian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MINAT golongan belia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) begitu ketara berikutan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati berlaku kemerosotan di peringkat pengajian Diploma dan Ijazah Pertama iaitu daripada 1,342,278 pelajar pada 2016 menurun kepada 1,226,545 pada tahun 2020.

Senario ini turut diakui oleh Kementerian Pendidikan apabila seramai 300,000 belia lepasan SPM tidak berminat untuk melanjutkan pengajian atas beberapa faktor termasuk berkemungkinan tertarik dengan sektor ekonomi gig yang menawarkan gaji yang lumayan tanpa kelayakan yang tinggi. Bukan itu sahaja, terdapat juga belia lepasan SPM memilih dunia glamor sebagai pempengaruh sehingga bertekad mengetepikan dunia pengajian tinggi.

Selain itu, ada juga dalam kalangan belia yang terpengaruh dengan ‘hasutan’ bahawa “tak pandai tak apa, asalkan kaya”, yang sering dilontarkan oleh beberapa pempengaruh media sosial. Kehidupan serba mewah yang dipamerkan pempengaruh turut meracuni pemikiran golongan belia yakni boleh berjaya tanpa memiliki pendidikan tinggi.

Buktinya, kajian yang dijalankan oleh University College Sedaya International (UCSI) menerusi Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI mendapati seramai 34 peratus belia lepasan SPM yang tidak melanjutkan pengajian memilih untuk menjadi pempengaruh media sosial. Kemungkinan besar faktor ekonomi menjadi punca ekoran ketidakmampuan keluarga belia lepasan SPM untuk menampung perbelanjaan kewangan bagi menyambung pengajian. Dengan kos pengajian di IPT yang semakin meningkat berserta tahap pendapatan isi rumah yang tidak kompetitif, sebahagiannya akan berfikir untuk tidak menyambung pengajian dan berfikir untuk terus bekerja bagi membantu diri dan keluarga. Hal ini dikhuatiri jika berlanjutan, bakal menjejaskan produktiviti negara, pada masa yang sama negara bakal kehilangan ramai tenaga mahir.

Kerajaan Madani haruslah menilai semula dasar PTPTN terutamanya bagi mahasiswa daripada golongan keluarga B40, kos dan yuran pengajian yang tinggi di institusi pengajian tinggi swasta dan menyelaraskan kursus pengajian yang memberi peluang kerjaya yang meluas seperti kewujudan fakulti atau pusat pengajian kecerdasan buatan (AI) yang mendapat tumpuan dan perhatian di sektor industri pada hari ini. Masa hadapan generasi belia harus diselamatkan. Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah menyatakan: “apabila kita hendak melihat wajah negara di masa hadapan, lihatlah generasi belia hari ini. Jika generasi belia hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah, negara pasti di masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur. Tetapi jika keadaan sebaliknya, maka bersedialah untuk berdepan kemungkinan buruk yang berlaku”.

Adalah penting bagi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat secara keseluruhan untuk menangani kebimbangan ini dengan menyediakan sokongan kewangan, dan mendedahkan manfaat jangka panjang pendidikan tinggi untuk menggalakkan lebih ramai belia lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian. Bak peribahasa, “Adat pulau limburan pasang”, bersedialah dan mainkanlah peranan masing-masing bagi bersama-sama membantu mengemudi generasi pelapis masa hadapan ke arah memperkasakan jiwa dan pemikiran belia demi kemakmuran negara. – UTUSAN

MOHD. AMMYRUL ASHRAF SAIRAN
MUHAMMAD ZAKIR ABDULLAH
Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN