Siti Zaharah sinonim kebajikan masyarakat

Siti Zaharah sinonim kebajikan masyarakat

SEBAGAI seorang yang bertanggungjawab dan amanah, Siti Zaharah amat prihatin terhadap keadaan persekitaran sosial negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Mac 2001, Malaysia dikejutkan dengan insiden pergaduhan yang tidak diingini di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor. Pertengkaran antara jiran yang asalnya kecil menjadi besar, namun berjaya dibendung.

Semasa itu jika ia tidak ditangani secara baik, kemungkinan boleh merebak dengan cepat kerana lokasi Kampung Medan terletak di kawasan padat penduduk berhampiran dengan ibu kota Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. 2001 diwarnai gerakan reformasi akibat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada tahun yang sama, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang menggabungkan tiga akta berbeza iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, serta Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 digubal dan dikuat kuasakan ketika Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman menjadi Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Untuk menguatkuasakan akta tersebut dan bagi mengatasi pelbagai masalah masyarakat yang lain, pertambahan pegawai-pegawai baharu daripada Skim Sosial (S) dilaksanakan.

Sebelum Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi merombak Kabinet pada 2004, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berada di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.
Dr. Mahathir memberi kepercayaan kepada Siti Zaharah menyertai Kabinet terakhir beliau pada 1999 sebagai Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ketika gelombang reformasi baru bermula.

Sebelum itu semasa pemilihan Ketua Wanita UMNO pada 1996, Siti Zaharah menewaskan penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz yang digelar ‘Wanita Besi’ dengan kelebihan 27 undi.

Siapa yang menerajui kepimpinan Wanita UMNO sering menjadi perhatian umum kerana Wanita UMNO adalah nadi dan jentera utama parti keramat tersebut yang sanggup bekerja dari pintu ke pintu pada setiap kali pilihan raya.

Siti Zaharah yang gemar membaca buku memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Pentadbiran Pendidikan dan Organisasi, dari Universiti Cornell New York.

Beliau berpengalaman bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pernah menyandang jawatan Penyelaras Program Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebelum bergiat aktif dalam politik.

Pada usia 37 tahun, beliau memenangi kerusi Parlimen Mentakab, Pahang ketika Pilihan Raya Umum ke-7 (PRU7) pada 1986. Selain Menteri penuh, Siti Zaharah diberi kepercayaan memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Perusahaan Awam dan Kesihatan.

Antara polisi penting negara yang diperkenalkan ketika beliau menjadi menteri ialah Dasar Sosial Negara yang bertujuan untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang boleh memperkembangkan potensi diri secara optimum dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri demokratik, progresif, adil dan saksama.

Ia selaras dengan matlamat utama untuk mencapai Wawasan 2020. Jentera utama pelaksana dasar ini ialah JKM di setiap daerah dan JPNIN, yang mana Rukun Tetangga serta Tabika Perpaduan di akar umbilah yang digembleng dengan pelbagai program.

 

PRIHATIN
Siti Zaharah amat prihatin terhadap keadaan persekitaran sosial negara. Ketika beliau menjadi menteri, ibu pejabat kementerian yang terletak di tengah Kuala Lumpur membolehkan beliau melihat sendiri masalah komuniti di Lembah Klang dan kawasan yang bersempadan dengannya, selain kawasan Parlimen di Pahang.

Masih terngiang-ngiang nasihat Siti Zaharah kepada kakitangan pejabat beliau, “Kepantasan cara kerja Dr. Mahathir seperti berlari, maka saya juga kena berlari. Kalau staf pejabat saya masih merangkak, kita akan tertinggal dan kita akan susahkan rakyat!” Ketegasan dan ketilitian seorang pemimpin wanita itu kadangkala disalah ertikan.

Malaysia tidak akan ketandusan pemimpin wanita profesional kerana sejak dahulu ramai wanita muda yang berpendidikan mendapat tempat untuk mengembangkan potensi kepimpinan dalam pelbagai bidang.

Perkataan yang sering disebut Siti Zaharah dalam ucapan-ucapan rasmi adalah ‘kebajikan masyarakat’ dan ‘perpaduan negara’. Semoga segala jasa bakti beliau terhadap agama, bangsa dan tanah air dibalas dengan taman-taman syurga Ilahi.

Pada 26 Julai lalu, Malaysia berduka apabila Siti Zaharah menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun di Hospital Serdang, Selangor pada pukul 11.23 malam Jumaat akibat sakit tua.

Jenazah wanita hebat ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam pada 11.30 pagi keesokan harinya.

Semoga allahyarhamah di tempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.-UTUSAN

PENULIS ialah bekas Pegawai Khas kepada Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman ketika beliau menjadi Menteri Perpaduan Negara dan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×