Pupuk minat reka cipta melalui inovasi hijau

Pupuk minat reka cipta melalui inovasi hijau

IA dapat mendidik pelajar untuk cintakan alam sekitar dan menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk kesejahteraan kehidupan dunia pada masa hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERDASARKAN hala tuju Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 antaranya menggariskan aspirasi murid dalam pembangunan kemahiran berfikir secara kreatif, inovatif dan kritis.
Ia juga bersesuaian dengan teras Malaysia Madani, iaitu nilai daya cipta. Pengukuhan nilai daya cipta di peringkat sekolah, dapat memupuk minat dan mempertingkatkan elemen kreativiti dalam kalangan pelajar sekolah.
Kebolehupayaan pelajar mencipta produk dapat memberikan indikasi keupayaan nilai daya cipta yang diperoleh hasil dari bimbingan dan pembelajaran yang dilalui.

Dalam memenuhi hasrat memupuk dan membimbing minat reka cipta, penggunaan bahan kitar semula adalah amat bersesuaian sebagai bahan dalam pembangunan prototaip. Tanpa menggunakan modal yang tinggi, budaya inovasi ini dapat dikembangkan melalui penggunaan bahan kitar semula, atau diistilahkan sebagai inovasi hijau.

Bahan kitar semula adalah seperti bekas makanan, botol minuman, surat khabar, kotak, majalah dan kain. Penggunaan bahan kitar semula ini juga dapat dikategorikan sebagai produk akhir, sekiranya ia dapat digunakan secara langsung dan mematuhi kebolehfungsian yang diperlukan.
Pelbagai fungsi dan penggunaan produk dari bahan kitar semula dapat dikenal pasti.

Penghasilan produk ini juga dapat dikomersialkan sekiranya mempunyai nilai estetik yang tinggi. Tambahan itu, ia dapat mendidik pelajar untuk cintakan alam sekitar, dan menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk kesejahteraan kehidupan dunia pada masa hadapan. Pembudayaan reka cipta adalah amat penting, dan pengukuhan perlu dilaksanakan seawal pengajian secara formal.

Dengan mengadaptasi penggunaan bahan kitar semula, penghasilan produk melalui inovasi hijau dapat melestarikan budaya reka cipta dan mencipta bakat reka cipta ternama. – UTUSAN

PROFESOR MADYA
DR. AHMAD MUBARAK TAJUL ARIFIN
Ketua Jabatan,
Keusahawanan, Daya Usaha
dan Inovasi dan Sastera Liberal,
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN