Perkasa komuniti, noktahkan buli

Perkasa komuniti, noktahkan buli

USAHA mentransformasi komuniti mampu mewujudkan satu persekitaran yang kalis buli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BULI merupakan satu isu sosial yang membarah sejak sekian lama dan perlu dinoktahkan. Perbezaan kuasa antara pembuli dan mangsa mampu menatijahkan kecederaan fizikal dan gangguan emosi kepada kedua-dua pihak.

Namun, komuniti seringkali dilihat kurang cakna dan gagal memainkan peranan penting dalam menangkis isu ini dengan tuntas. Walhal, setiap ahli komuniti perlu berganding bahu dan mengambil tanggungjawab sekiranya kejadian buli berlaku di komuniti mereka. Justeru, komuniti boleh memainkan peranan yang signifikan dalam menoktahkan isu sosial ini melalui pelaksanaan dua peringkat perubahan.

Perubahan Peringkat Pertama
Usaha ini boleh dimulakan dengan meningkatkan kesedaran ahli komuniti melalui pelaksanaan kempen kesedaran dan penyebaran pengetahuan berkenaan buli dan kesan berbahaya.

Satu medium khas boleh diwujudkan untuk ahli komuniti melaporkan insiden buli, tanpa berkompromi soal keselamatan saksi dan mangsa buli. Medium pelaporan ini, yang boleh dibangunkan dengan bantuan teknologi, dapat menyediakan satu platform yang selamat kepada ahli komuniti berkongsi maklumat mereka berkenaan insiden buli tanpa risiko diancam.

Komuniti juga boleh menganjurkan program pemerkasaan dalam komuniti dengan menyasarkan penglibatan aktif setiap ahli komuniti dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan inklusif. Dengan memupuk pendekatan secara inklusif, penyertaan segenap lapisan masyarakat dapat memastikan penyampaian program yang bermatlamat menoktahkan buli dapat dicapai dengan baik.

Bahkan, pengumpulan data dan maklum balas yang kerap dapat membantu komuniti melaksanakan satu penilaian yang komprehensif dan menambahbaik pelaksanaan strategi untuk memastikan setiap inisiatif yang diambil dalam menangani buli berkesan dan kekal relevan bersandarkan kepada keperluan komuniti.

Perubahan Peringkat Kedua
Usaha ini melibatkan penilaian semula yang dibuat secara menyeluruh ke atas nilai dan amalan sesebuah komuniti dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, sekolah, ibu bapa dan kejiranan.
Sebagai contoh, penguatkuasaan undang-undang yang sering digunapakai untuk menghukum pembuli boleh ditambahbaik dengan melaksanakan konsep keselamatan berasaskan komuniti. Antaranya mengintegrasikan pembelajaran sosioemosi ke dalam kurikulum sekolah yang memfokuskan kepada nilai empati dan penyelesaian konflik secara berkesan.

Landskap sekolah umpamanya juga boleh disusun atur untuk mewujudkan zon selamat dan menambah baik penyeliaan di kawasan yang berpotensi berlaku kes buli.
Usaha mentransformasi komuniti ini mampu mewujudkan satu persekitaran yang kalis buli serta memangkin satu bentuk perubahan yang bersifat kekal dan holistik.

Usaha menoktahkan buli memerlukan pemahaman yang nuansa tentang perubahan peringkat pertama dan kedua serta aplikasinya dalam komuniti. Perubahan peringkat pertama amat diperlukan untuk penambahbaikan segera dan perubahan peringkat kedua adalah sokongan penting untuk menangani punca buli dan mewujudkan transformasi positif yang berkekalan dalam komuniti.

Dengan menggabungkan dua pendekatan ini, komuniti boleh menangani punca dan mudarat perilaku buli dan memastikan strategi komprehensif yang bersesuaian dengan keperluan semasa di samping menggalakkan perubahan budaya jangka panjang.

Pendekatan holistik ini tidak hanya mengurangkan kerungsingan komuniti terhadap bahaya buli, bahkan turut memangkin persekitaran yang selamat di mana setiap individu berasa dihargai dan dihormati, sekaligus membina komuniti yang harmoni dan sejahtera. –UTUSAN

DR. MOHAMAD NAQIUDDIN
DAHAMAT AZAM
Pensyarah Kanan,
Fakulti Ekologi Manusia,
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN