SAUDARA PENGARANG,
PELAJAR Kolej Vokasional (KV) tidak seharusnya dipinggirkan, malah perlu diiktiraf sebagai individu yang memiliki kelebihan tersendiri dan berpotensi besar dalam bidang kerjaya yang mereka ceburi. Pendidikan vokasional telah lama menjadi landasan penting bagi mereka yang berminat dalam bidang kemahiran teknikal dan praktikal. Justeru, ia wajar mendapat tempat yang setaraf dengan pendidikan akademik biasa.
Salah satu kelebihan utama pelajar KV adalah kemahiran praktikal yang tinggi.
Kurikulum di KV memberi penekanan besar terhadap latihan praktikal dan hands-on yang membolehkan pelajar menguasai kemahiran spesifik yang diperlukan dalam industri. Ini menjadikan mereka lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan berbanding pelajar dari laluan akademik tradisional. Pelajar KV juga dilatih untuk beradaptasi dengan perubahan teknologi dan keperluan industri yang sentiasa berkembang. Penguasaan kemahiran ini menjadikan mereka aset yang berharga bagi majikan yang mencari pekerja mahir.
Pelajar KV berpeluang memperoleh sijil dan diploma yang diiktiraf oleh industri. Pada tahun kedua pengajian, pelajar akan mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM), manakala pada tahun terakhir, mereka akan menduduki Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Sijil dan diploma ini bukan sahaja membuktikan kemahiran mereka tetapi juga memberikan kelebihan dalam pasaran kerja. Dalam sesetengah bidang seperti kejuruteraan, masakan dan teknologi maklumat mempunyai sijil atau diploma vokasional adalah syarat utama untuk diterima bekerja. Pengiktirafan industri ini menunjukkan bahawa pelajar KV telah mencapai tahap kemahiran yang diinginkan dan mampu melaksanakan tugas dengan cekap.
Tambahan pula, KV mengamalkan pendekatan pembelajaran berasaskan industri (PBI) di mana pelajar didedahkan dengan situasi sebenar dalam industri melalui latihan industri. Ini memberikan mereka pengalaman dunia sebenar yang sangat berharga, selain membantu mereka memahami keperluan dan cabaran yang wujud dalam bidang pekerjaan yang mereka ceburi.
Selepas tamat persekolahan, pelajar KV mempunyai pelbagai peluang kerjaya dalam industri. Mereka yang tamat dari KV berpeluang untuk terus bekerja dalam bidang yang mereka pelajari. Industri seperti pembuatan, teknologi, hospitaliti dan perkhidmatan memerlukan pekerja yang mahir dengan kemahiran spesifik dan pelajar KV adalah calon yang ideal untuk memenuhi keperluan ini. Lepasan DVM yang memperoleh keputusan cemerlang boleh mengambil program praijazah jika berminat untuk menyambung pengajian di universiti.
Kemahiran teknikal yang diperoleh di KV bukan sahaja diiktiraf di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Ini membuka peluang kepada pelajar untuk bekerja di luar negara, di mana permintaan terhadap pekerja mahir sering kali tinggi.
Pelajar Kolej Vokasional bukan sahaja tidak dipinggirkan, malah mereka mempunyai kelebihan dan peluang yang setara, jika tidak lebih baik, berbanding pelajar laluan akademik. Dengan kemahiran praktikal yang tinggi, pengiktirafan industri dan peluang kerjaya yang luas, pelajar KV harus dilihat sebagai aset penting dalam pembangunan ekonomi dan industri negara.
Justeru, sokongan dan pengiktirafan yang lebih besar perlu diberikan kepada mereka untuk memastikan mereka dapat mencapai potensi penuh dalam bidang yang mereka ceburi. – UTUSAN
MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI
Pengetua Kolej Kediaman Jasmine
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Cawangan Selangor
Kampus Puncak Alam










