SAUDARA PENGARANG,
SEKOLAH berasrama penuh (SBP) sejak sekian lama dikenali sebagai institusi pendidikan yang melahirkan pelajar cemerlang di Malaysia. Namun, untuk mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran masa depan, SBP hendaklah menentukan bidang profesional yang negara perlukan dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Langkah ini memerlukan perancangan strategik dan penyesuaian kurikulum yang teliti. Contohnya, sebuah SBP boleh fokus kepada bidang perubatan jantung, manakala SBP lain dalam bidang kejuruteraan elektrik. Dengan cara ini, pelajar akan dibentuk dan diberi pendedahan awal dalam bidang yang spesifik sejak dari tingkatan satu.
Pelajar yang memasuki mana-mana SBP akan melalui program pendidikan yang difokuskan kepada bidang ditetapkan. Kurikulum yang disesuaikan ini bukan sahaja melibatkan pembelajaran akademik tetapi juga latihan praktikal dan pendedahan industri.
Sebagai contoh, pelajar bidang perubatan jantung akan mempelajari subjek-subjek yang berkaitan dengan biologi dan sains kesihatan secara mendalam. Mereka juga akan diberi peluang untuk mengadakan lawatan ke hospital dan berinteraksi dengan pakar perubatan.
Selain itu, sekolah-sekolah ini hendaklah menjadi anak angkat kepada profesional dalam bidang masing-masing. Program mentor-mentee boleh diperkenalkan. Hubungan ini bukan sahaja memberi inspirasi tetapi juga panduan praktikal dan bimbingan dalam perkembangan kerjaya mereka.
Melalui program ini, pelajar akan lebih memahami keperluan dan cabaran dalam bidang tersebut serta meningkatkan motivasi untuk mencapai kecemerlangan. Setiap SBP boleh menentukan bidang fokus masing-masing berdasarkan keperluan negara dan kepakaran sedia ada. Ini akan memastikan adanya kepelbagaian dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang profesional.
Dengan menentukan bidang profesional sejak awal, SBP dapat menyediakan pelajar yang lebih bersedia dan terlatih untuk menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar. Ini juga dapat membantu mengurangkan masalah kekurangan tenaga kerja dalam bidang-bidang kritikal pada masa akan datang.
Di samping itu, pelajar akan mempunyai kelebihan kompetitif kerana mendapat pendedahan dan latihan khusus yang tidak diperoleh di sekolah-sekolah biasa. Pendidikan di SBP yang difokuskan kepada bidang profesional tertentu juga akan melahirkan pelajar yang lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi. Mereka akan lebih jelas dengan matlamat dan hala tuju kerjaya masing-masing. Ini akan mendorong mereka untuk belajar dengan lebih tekun dan gigih. Kejayaan dalam bidang profesional yang dipilih juga akan memberi kepuasan dan kebanggaan kepada mereka serta sumbangan yang bermakna kepada negara.
Dengan langkah menentukan bidang profesional yang diperlukan negara, SBP bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang tetapi juga profesional yang berkualiti dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Ini akan memastikan Malaysia terus maju dan berdaya saing di peringkat global. – UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
SMK Dato’ Sulaiman, Parit Sulong










