SAUDARA PENGARANG,
Wanita muda banyak diberikan peluang yang sama seperti lelaki untuk berkhidmat kepada rakyat dan seharusnya usaha ini dihormati dalam politik dan kerajaan. Saya mendapatkan pandangan daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Datuk Dr. Hajah Norlela Ariffin.
Beliau tanpa berselindung memberitahu Nur Aishah Zainol adalah orang yang layak diangkat sebagai prospek kepimpinan Wanita Keadilan Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, wanita muda yang berkelulusan Ijazah Sarjana Perbandingan Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semakin terserlah sikap berani dan agresif malah tidak merasa kekok dalam melakukan tugas selaku Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai. Begitu juga pembabitannya secara langsung dengan pihak komuniti penduduk setempat.
Ironinya, pepatah yang menyebutkan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara mungkin sesuai ditujukan kepada Nur Aishah yang boleh dijadikan ikon atau tarikan golongan muda pada masa akan datang.
Dapatan menunjukkan generasi muda berusia 18 hingga 29 tahun mewakili 28 peratus pengundi golongan anak muda manakala pengundi berumur antara 30 hingga 40 tahun mewakili 22 peratus pengundi golongan dewasa.
Oleh itu, saya dapat merumuskan bahawa Nur Aishah adalah orang yang tepat untuk diangkat sebagai prospek Wanita Keadilan memandangkan perspektif politik meletakkan parti di hadapan dengan cara politik berparti selama ini jugalah andaian dibuat bahawa calon parti yang sesuai adalah mereka yang pernah terlibat dalam parti.
Makanya, parti akan sentiasa penting tetapi dalam persaingan pengaruh setempat. Seseorang individu hendaklah punya warnanya tersendiri (berparti) dan berkhidmat kepada komuniti terlebih dahulu, dan kemudian barulah pengundi akan berbangga untuk memilih mereka sebagai wakil mereka dalam pilihan raya. – UTUSAN
PEMERHATI BEBAS POLITIK
Pulau Pinang










