Jumpa doktor segera jika hadapi masalah gigi bongsu

Jumpa doktor segera jika hadapi masalah gigi bongsu

GIGI bongsu boleh menjadi satu masalah kesihatan yang serius jika tidak ditangani dengan betul. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GIGI bongsu adalah gigi geraham ketiga yang biasanya tumbuh di bahagian paling belakang mulut. Kebanyakan orang akan mempunyai empat gigi bongsu, dua di atas dan dua di bawah.
Gigi ini biasanya muncul pada akhir remaja atau awal 20-an. Walaupun ada orang yang tidak mengalami masalah dengan gigi bongsu mereka, ramai yang menghadapi pelbagai isu.

Mengapa gigi bongsu menjadi masalah?
Ruang yang terhad. Mulut kebanyakan orang tidak mempunyai cukup ruang untuk gigi bongsu tumbuh dengan sempurna. Ini boleh menyebabkan gigi tersebut tumbuh secara senget atau terbenam dalam gusi, yang dikenali sebagai impaksi.
Kebersihan mulut. Gigi bongsu yang terletak di bahagian belakang mulut sering sukar untuk dibersihkan dengan betul. Ini boleh menyebabkan pembentukan plak dan peningkatan risiko kaviti serta penyakit gusi.

Gigi bongsu yang tumbuh secara senget atau terbenam boleh menyebabkan kesakitan dan bengkak pada gusi. Ini kerana kesukaran dalam membersihkan kawasan gigi bongsu hingga menyebabkan pengumpulan sisa makanan dan kolonisasi bakteria sehingga menimbulkan keradangan di kawasan tersebut.

Kadang-kadang, gigi bongsu yang tumbuh boleh menekan gigi-gigi lain, menyebabkan kesakitan atau perubahan dalam susunan gigi.

Apa yang boleh dilakukan?
Jika anda mengalami masalah dengan gigi bongsu, langkah terbaik adalah berjumpa dengan doktor gigi. Berikut adalah beberapa pilihan yang mungkin dicadangkan oleh doktor gigi:

Pemantauan
Jika gigi bongsu tidak menyebabkan sebarang masalah, doktor gigi mungkin akan mencadangkan untuk memantau keadaan tersebut melalui pemeriksaan berkala dan memastikan pembersihan di kawasan tersebut dilakukan dengan sempurna.

Pembuangan gigi bongsu
Jika gigi bongsu menyebabkan kesakitan atau masalah lain, doktor gigi mungkin akan mencadangkan untuk membuangnya. Prosedur ini biasanya dilakukan di bawah anestesia tempatan dan memerlukan masa beberapa hari untuk pulih sepenuhnya.

Rawatan
Doktor gigi juga boleh memberikan ubat penahan sakit atau antibiotik jika terdapat jangkitan atau kesakitan yang teruk.
Selepas pembuangan gigi bongsu, penting untuk mengikuti arahan doktor gigi untuk memastikan pemulihan yang cepat dan lancar. Ini termasuk menggunakan kompres sejuk untuk mengurangkan bengkak. Mengambil ubat penahan sakit seperti yang diarahkan.

Tidak berkumur dalam masa 24 jam setelah prosedur bagi mengelakkan pendarahan daripada soket gigi. Menjaga kebersihan mulut dengan berhati-hati tanpa mengganggu kawasan yang telah dirawat.

Gigi bongsu boleh menjadi satu masalah kesihatan yang serius jika tidak ditangani dengan betul. Oleh itu, penting untuk menjalani pemeriksaan pergigian secara berkala dan berbincang dengan doktor gigi jika mengalami sebarang masalah atau ketidakselesaan. Dengan penjagaan yang betul, anda boleh memastikan kesihatan mulut berada dalam keadaan terbaik. – UTUSAN

DR. NOOR HANANI AHMAD DAMANHURI
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN