SAUDARA PENGARANG,
INSTITUT Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melaporkan dapatan penting daripada kuiz Pantau Dana Politik yang dilancarkan pada Disember 2023 sebagai sebahagian daripada usaha IDEAS untuk mengukur sokongan awam terhadap Akta Pendanaan Politik. Sejak dilancarkan, kuiz Pantau Dana Politik telah mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan 2,770 orang pengguna menjawab keseluruhan kuiz dan 12,259 orang pengguna menyelesaikan sekurang-kurangnya satu halaman, menyumbang kepada sejumlah 107,652 halaman kandungan pendidikan yang diselesaikan.
Respon tinjauan, sebagai sebahagian daripada kuiz, menunjukkan sokongan awam yang kuat untuk ketelusan yang lebih besar dalam pendanaan politik, dengan 73.9 peratus responden bersetuju bahawa parti politik harus lebih telus mengenai sumber dana mereka. Selain itu, 63.7 peratus menyokong idea pembiayaan awam untuk parti politik, dan 55 peratus menyatakan sokongan untuk Akta Pendanaan Politik.
Majoriti sokongan untuk mekanisme ketelusan dan pembiayaan awam menekankan keperluan kerajaan untuk menggubal Akta Pendanaan Politik yang mencerminkan prinsip ini. Walau bagaimanapun, sehingga September 2023, pembiayaan awam masih belum dimasukkan dalam dasar Kabinet.
Pembiayaan awam untuk parti politik bukanlah satu cadangan dasar baharu. Dengan dua pertiga negara di seluruh dunia mengamalkannya, jelas bahawa perundangan pendanaan politik yang berkesan mesti merangkumi peruntukan pembiayaan awam. Antara manfaat penting pembiayaan awam termasuk mengurangkan pengaruh perniagaan besar dalam politik serta mengukuhkan sistem parti politik di Malaysia, sekali gus memperkukuhkan kesihatan demokrasi kita.
IDEAS mengajak orang awam untuk mencuba kuiz ini dan menyertai gerakan mendesak kebertanggungjawaban dalam pembiayaan politik. Kuiz Pantau Dana Politik boleh didapati di pantaudanapolitik.com dalam bahasa Melayu, Inggeris, dan Mandarin. Kami menggesa orang awam untuk berkongsi kuiz ini dengan rakan sekerja, keluarga dan rakan-rakan serta di platform media sosial. – UTUSAN
INSTITUT DEMOKRASI DAN HAL EHWAL EKONOMI (IDEAS)










