SAUDARA PENGARANG,
SEDIKIT ralat apabila analisis Kementerian Pendidikan (KPM), terdapat seramai 10,160 atau 2.65 peratus daripada 383,685 orang calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir peperiksaan.
Meskipun mengikut peratus, jumlah ini berkurangan ketimbang tahun lepas apabila seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 tidak menduduki peperiksaan. Tahun sebelumnya, seramai 10.681 atau 2.7 peratus calon SPM 2021 tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.
Jika dilihat kepada bilangan calon yang tidak hadir mengambil SPM bagi tiga tahun terkini, angkanya melebihi 10,000 pelajar setiap tahun dan jumlah tertinggi pada SPM 2022 melebihi 14,000 pelajar. Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan telah menyatakan KPM akan meneliti punca berkenaan dan melaksanakan intervensi bagi menangani ketidakhadiran peperiksaan ini dengan sebaiknya.
Memetik kenyataan pensyarah yang juga Pakar Sosiologi Pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, antara sebab calon tidak menduduki peperiksaan disebabkan bencana, kemalangan atau kecemasan, selain faktor masalah kesihatan kronik, sudah bekerja dan berkahwin. Selanjutnya beliau dilaporkan berkata, ada juga kemungkinan sebahagian daripada pelajar terbabit sudah menjadi usahawan kecil dengan terbabit dalam perniagaan atau pertanian keluarga mereka.
Matlamat kerajaan untuk menyediakan pendidikan kepada setiap pelajar hingga sekurang-kurangnya tingkatan lima adalah satu tindakan yang baik. Tetapi yang menjadi masalahnya apabila ada pelajar-pelajar yang sudah hilang minat belajar. Kehadiran mereka ke sekolah bagai terpaksa. Ada yang sekadar datang tetapi tidak membuat kerja sekolah yang disuruh guru malah lebih mendukacitakan apabila kerap ponteng sekolah.
Usaha menangani isu ini perlu melibatkan ibu bapa. Jangan hanya serahkan proses mendidik kepada pihak sekolah sahaja. Ibu bapa lebih banyak masa bersama anak-anak mereka berbanding masa cikgu yang terhad setakat waktu di sekolah sahaja. Malah cikgu mungkin tidak mampu untuk memantau setiap pelajar yang berjumlah puluhan pelajar untuk setiap kelas.
Ibu bapa adalah satu institusi penting bagi memastikan kemenjadian sesebuah keluarga. Dalam konteks pendidikan, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah, ibu bapa perlu memberi sokongan, perhatian, dorongan dan motivasi kepada anak-anak mereka agar tidak ketinggalan dalam proses menuntut ilmu dan menanam minat kepada anak-anak untuk hadir ke sekolah.
Sikap ibu bapa yang mengambil berat akan pelajaran anak-anak mereka menyebabkan anak-anak akan merasa mereka disayangi dan dihargai. Justeru itu semangat anak-anak untuk belajar akan meningkat.
Sokongan dan dorongan dari ibu bapa amat penting dalam pendidikan anak-anak kerana anak-anak merasakan mereka dihargai dan lebih bersemangat untuk belajar. Bila semangat belajar berjaya diterap kepada anak-anak, ini akan menyebabkan mereka akan rajin untuk ke sekolah. Justeru itu bilangan pelajar tercicir mahupun tidak hadir SPM akan berjaya dikurangkan. – UTUSAN
NADZIR AWANG AHMAD@SAID
Pensyarah Kanan Fakulti perakaunan
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis










