ADA dua perkara paling menarik perhatian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini. Kedua-duanya datang daripada dua pemimpin tertinggi Pas, iaitu Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalan beliau, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Abdul Hadi dipetik media sebagai berkata: “Apa yang penting kita nak Johor diperintah oleh orang Melayu kita. Kita tidak mahu dikuasai oleh puak-puak liberal dan bukan Islam. Biar orang Islam yang perintah Johor.”
Tuan Ibrahim pula mencetuskan kejutan apabila meminta ahli dan penyokong Pas mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Dua kenyataan ini bukan sahaja menjadi perhatian penyokong Pas, malah turut mengundang reaksi banyak pihak.
Dalam PRN Johor kali ini, Pas hanya bertanding 11 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 16 kerusi, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) lima kerusi dan satu kerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggunakan logo PN, menjadikan keseluruhannya 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini bermakna PN tidak meletakkan calon di 23 kerusi.
Jumlah kerusi ditandingi Pas sememangnya kecil berbanding keseluruhan kerusi DUN Johor. Atas sebab itu, ada pihak mempersoalkan kesungguhan parti itu menghadapi pilihan raya ini.
Namun, apabila kedua-dua kenyataan pimpinan tertinggi Pas dibaca secara bersama, mesej politik yang ingin disampaikan menjadi lebih jelas.
Presiden Pas menegaskan hasrat melihat Johor terus dipimpin oleh kuasa politik Melayu-Islam, manakala timbalannya mengarahkan penyokong membantu calon BN di kawasan yang PN tidak bertanding.
Dari perspektif politik, langkah itu boleh ditafsirkan sebagai usaha mengutamakan matlamat yang lebih besar daripada persaingan sempit antara parti, iaitu mengelakkan pertembungan yang boleh memecahkan undi dan membuka ruang kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Jika tafsiran ini tepat, Pas dilihat sanggup memberi laluan kepada UMNO dan BN untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Johor walaupun parti itu sendiri tidak memperoleh manfaat politik secara langsung di 23 kerusi berkenaan.
Lebih penting lagi, langkah ini memberi isyarat kerjasama politik antara Pas dan UMNO masih mempunyai ruang untuk dibina semula. Ramai pemerhati melihat perkembangan ini berpotensi menjadi asas kepada kebangkitan semula Muafakat Nasional (MN) dalam bentuk baharu di peringkat Persekutuan.
Kemungkinan inilah yang dilihat paling membimbangkan PH. Sekiranya kerjasama politik antara UMNO dan PN benar-benar dapat direalisasikan, pastinya landskap politik negara berpotensi berubah dengan ketara dan memberi cabaran besar kepada PH untuk mengekalkan kuasa.
Tidak hairanlah sepanjang kempen ini, pimpinan PH dilihat memberi tumpuan yang tinggi terhadap UMNO dan kepimpinannya.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sering menjadi sasaran kritikan, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut mengkritik beliau.
PH juga kelihatan semakin agresif menjelang hari pengundian pada 11 Julai.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, membangkitkan semula isu ‘gelombang hijau’ bertujuan mempengaruhi sentimen pengundi Cina terhadap Pas manakala Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming cuba menarik sokongan pengundi Cina menggunakan kampung baharu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyindir Pas kerana tidak meletakkan calon di kawasan ditandingi DAP dibidas oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan hujah yang berasaskan realiti politik.
Menurut Muhammad Sanusi, pembahagian kerusi pilihan raya sentiasa dibuat berdasarkan demografi dan sokongan pengundi. Setiap keputusan perlu munasabah dan realistik.
Beliau mempersoalkan Anthony yang mendakwa Pas takut bertanding di kawasan majoriti Cina sedangkan katanya, DAP sendiri tidak berani bertanding di kawasan majoriti Melayu.
“Kalau dia (Anthony) berani, mai (datang) bertanding di Jeneri (kawasan DUN diwakili Muhammad Sanusi di Kedah),” katanya.
Apa pun tafsiran diberikan, dua kenyataan pemimpin Pas itu mengubah fokus PRN Johor daripada persaingan merebut kerusi kepada persoalan tentang hala tuju kerjasama politik Melayu serta kemungkinan terbentuknya penjajaran politik baharu selepas pilihan raya.
Bagi yang melihat politik hanya melalui lensa kepartian, pendirian Pas memang sukar diterima. Bagi mereka, menang pilihan raya adalah segala-galanya.
Namun matlamat dan strategi politik tidak semestinya berakhir di peti undi.
Ada ketikanya sesebuah parti membuat keputusan bukan semata-mata untuk memenangi pilihan raya yang sedang berlangsung tetapi untuk membina landskap politik yang ingin diwujudkan selepas pilihan raya.



PAS SEMAKIN SIGNIFIKAN
Inilah yang menjadikan langkah Pas kali ini begitu signifikan. Dalam era politik yang lazimnya dipenuhi persaingan dan perebutan pengaruh, Pas menghantar isyarat bahawa masih ada ruang untuk membina kerjasama politik yang lebih besar.
Justeru, PRN Johor bukan sekadar pertandingan merebut 56 kerusi DUN semata-mata tetapi boleh menjadi medan uji sejauh mana kesediaan UMNO dan Pas membentuk semula kerjasama politik yang pernah dibina menerusi MN.
Sekiranya bibit-bibit kerjasama ini berkembang selepas PRN Johor, implikasinya bukan sekadar terhadap negeri itu, malah berpotensi mengubah percaturan politik di peringkat Persekutuan.
Pengundi Johor bukan sahaja akan menentukan siapa yang membentuk kerajaan negeri, malah mereka juga sedang menyaksikan satu lembaran baharu dalam hubungan politik antara UMNO dan Pas sedang ditulis semula. –UTUSAN
PENULIS ialah bekas wartawan selama 25 tahun dan kini Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah.










