PEMBANGUNAN Sabah tidak lagi boleh diukur semata-mata melalui pembinaan jalan raya, jambatan atau bangunan baharu.
Dalam era ekonomi digital, ukuran sebenar kemajuan ialah sejauh mana setiap rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, menikmati akses kepada pendidikan berkualiti, internet berkelajuan tinggi, peluang pekerjaan dan perkhidmatan kesihatan yang setara.
Selama beberapa dekad, Sabah berdepan pelbagai cabaran pembangunan yang berpunca daripada faktor geografi, taburan penduduk yang berselerak serta kos penyediaan infrastruktur yang jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.
Ramai penduduk masih tinggal di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi, menyebabkan akses kepada sekolah, hospital dan rangkaian internet tidak dapat dinikmati secara menyeluruh.
Hakikatnya, Sabah bukan negeri yang miskin sumber. Negeri ini kaya dengan hasil petroleum, pelancongan, pertanian dan biodiversiti bertaraf dunia.
Namun, kekayaan tersebut perlu diterjemahkan kepada pembangunan modal insan agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Atas kesedaran itu, Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Mustapha Sakmud, membawa pendekatan yang memberi penekanan kepada pembangunan manusia sebagai asas membentuk masa depan negeri.
Pendidikan dilihat sebagai kunci utama memutuskan kitaran kemiskinan, manakala internet pula menjadi ‘lebuh raya baharu’ yang membuka akses kepada ilmu, pekerjaan dan ekonomi digital.
Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, seorang pelajar di Pensiangan atau Tongod seharusnya mempunyai peluang pembelajaran yang sama seperti pelajar di Kuala Lumpur.
Begitu juga golongan belia Sabah perlu mempunyai akses kepada latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pekerjaan bernilai tinggi tanpa perlu berhijrah semata-mata untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Pada masa sama, usaha memperkukuh sistem kesihatan luar bandar turut penting agar rakyat tidak perlu menempuh perjalanan berjam-jam hanya untuk mendapatkan rawatan asas.
Kemudahan kesihatan yang baik bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup, malah menjadi pemangkin kepada produktiviti ekonomi negeri.
Banyak negara membuktikan pelaburan dalam modal insan mampu mengubah masa depan sesebuah wilayah.
Korea Selatan muncul sebagai kuasa ekonomi selepas memberi keutamaan kepada pendidikan dan teknologi, manakala Finland berjaya mengurangkan jurang pembangunan melalui sistem pendidikan yang berkualiti dan inklusif.
Prinsip sama boleh dijadikan rujukan Sabah dengan memperkukuh pendidikan, memperluas capaian digital, membangunkan TVET mengikut keperluan industri dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Masa depan Sabah bukan sekadar bergantung kepada pembinaan infrastruktur fizikal tetapi keupayaan membangunkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan mampu bersaing di peringkat global.
Jalan raya menghubungkan daerah dengan daerah tetapi pendidikan, internet, pekerjaan dan kesihatan menghubungkan rakyat kepada masa depan yang lebih cerah.
Bagaimanapun, apa yang menjadi cabaran utama di Sabah bukan lagi semata-mata soal akses ke sekolah tetapi kualiti pendidikan dan ekosistem yang melatari sekolah tersebut.
Mengulas isu ini, Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, Prof. Dr. Haslinda Abdullah berpandangan, masih terdapat sekolah yang berdepan dengan kekurangan guru dalam mata pelajaran kritikal, kemudahan pembelajaran yang tidak seimbang serta isu logistik akibat faktor geografi.
Menurutnya, bagi sesetengah murid di kawasan pedalaman, perjalanan ke sekolah masih mengambil masa yang panjang dan bergantung kepada keadaan cuaca.
Kesemuanya ini adalah cabaran yang bukannya mudah untuk anak-anak yang ingin mendapatkan pelajaran secara formal.
“Pada masa sama, cabaran melibatkan akses pendidikan digital, pendedahan kemahiran abad ke-21 dan peluang pembelajaran yang setara dengan murid di kawasan bandar.
“Justeru, fokus perlu beralih daripada hanya meningkatkan kadar enrolmen kepada memastikan setiap anak Sabah menerima pendidikan yang berkualiti tanpa mengira lokasi di mana mereka berada. Cabaran turut dirasai oleh anak-anak di pendalaman dalam konteks harga diri dan nilai diri di sebabkan jurang yang dialami,” katanya.
Dalam isu jurang digital, kebarangkaliannya kini semakin mengecil hasil peluasan liputan internet dan pelbagai inisiatif kerajaan. Namun, jurang utama adalah dari segi kualiti maklumat, kemampuan pemilikan peranti menampung penggunaan tinggi memori pengkomputeran (RAM) dan tahap literasi digital yang baik.

Jelas Dr. Haslinda, sekiranya salah satu daripada komponen ini masih lemah, maka manfaat teknologi tidak dapat dimaksimumkan sepenuhnya.
Dalam ekonomi digital, internet bukan lagi kemudahan tambahan tetapi merupakan infrastruktur asas yang menentukan akses kepada pendidikan, pekerjaan, latihan kemahiran dan keusahawanan. Oleh itu, usaha merapatkan jurang digital perlu diteruskan secara menyeluruh.
Kita juga perlu memahami geografi Sabah dalam membincangkan peluang pekerjaan, akses kesihatan dan penghijrahan kepada rakyatnya.
Ketiga-tiga aspek ini saling berkait. Belia tidak berhijrah semata-mata kerana ingin meninggalkan Sabah tetapi kerana mereka mencari peluang yang dirasakan lebih baik dari segi pekerjaan, pendapatan, pembangunan kerjaya dan kualiti hidup.
Sekiranya peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, akses kesihatan berkualiti serta ekosistem ekonomi lebih dinamik dapat diperkukuhkan di Sabah, maka penghijrahan boleh dikurangkan.
Tidak dapat dinafikan pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang memberi kesan merentas generasi. Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, pendidikan berkualiti mampu meningkatkan modal insan, produktiviti, inovasi serta kebolehpasaran tenaga kerja.
Peningkatan modal insan merupakan elemen penting untuk memastikan pembangunan sesebuah kawasan.
Namun, pendidikan sahaja tidak mencukupi. Kata Dr. Haslinda, perubahan harus dilakukan secara menyeluruh bagi menjamin kemampanan perubahan tersebut.
Transformasi sosioekonomi memerlukan pendidikan disepadukan dengan pembangunan ekonomi, pelaburan industri, infrastruktur digital, pengangkutan dan sistem kesihatan.
Apabila graduan mempunyai peluang pekerjaan yang berkualiti di Sabah, membolehkan manfaat pendidikan diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Dengan kata lain, pendidikan ialah pemangkin utama tetapi keberhasilannya bergantung kepada sejauh mana ekosistem pembangunan menyokong potensi yang dibina melalui pendidikan.
Akhirnya, masa depan Sabah bukan hanya bergantung kepada sumber asli atau pembangunan fizikal tetapi keupayaan membangunkan rakyatnya.
Apabila anak-anak Sabah bukan sahaja mampu mengubah kehidupan sendiri, malah menjadi pemacu kepada transformasi negeri secara menyeluruh sekiranya mempunyai ilmu, kemahiran dan peluang yang setara, mereka.
Kemajmukan masyarakat Sabah seharusnya menjadi tunjang keharmonian dalam mendapatkan pendidikan yang inklusif dan dinamik bagi menjamin masa depan lebih progresif kepada golongan belia Sabah. -UTUSAN
PENULIS ialah Pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia.










