PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor 2026 bukan sekadar medan perebutan kerusi atau ujian sosiopolitik biasa. Ia memperlihatkan keadaan politik yang semakin lazim dalam demokrasi Malaysia pasca-2018 iaitu parti yang berkongsi tanggungjawab pentadbiran di Putrajaya boleh bertembung sebagai pesaing di peringkat negeri.
Fenomena ‘rakan di pusat, lawan di negeri’ ini bukan sekadar naratif kempen. Ia mencabar cara kita memahami hubungan antara kerajaan, parti politik dan kuasa awam.
Lebih penting, ia menimbulkan persoalan asas, di manakah batas kuasa kerajaan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan mandat rakyat sedang dipulangkan melalui pilihan raya?
Untuk memahami konteks ini, kita wajar menoleh sejenak kepada sejarah pilihan raya negara.
Pilihan raya umum (PRU) pertama pada 1955 di bawah pentadbiran British membuka jalan kepada kemerdekaan pada 1957. Sejak itu, pilihan raya menjadi mekanisme utama rakyat menzahirkan mandat kepada kerajaan.
Namun, landskap politik negara berubah dengan ketara selepas 2018. Buat pertama kalinya kerajaan Persekutuan bertukar tangan. Perubahan itu menandakan bermulanya era politik yang lebih dinamik, tidak lagi terikat kepada blok yang kekal, lurus dan mudah diramal.
PRN Johor 2026 memperlihatkan perkembangan tersebut dengan lebih jelas. Di Putrajaya, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan berkongsi tanggungjawab pentadbiran.
Di Johor, parti-parti yang sama boleh berhadapan sebagai lawan politik. Bagi sebahagian rakyat, keadaan ini mungkin kelihatan janggal. Namun, dari sudut demokrasi dan sistem Persekutuan, ia tidak semestinya bercanggah.
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berada dalam bidang kuasa yang berbeza.
Rakyat negeri tetap mempunyai hak untuk menentukan kerajaan mereka sendiri. Parti politik pula bebas menawarkan calon, manifesto dan pendekatan yang mereka percaya lebih sesuai untuk negeri tersebut.
Namun, apabila seorang menteri hadir dalam program rasmi, adakah beliau hadir sebagai wakil kerajaan atau sebagai pemimpin parti?
Apabila isu pembangunan diketengahkan semasa kempen, adakah ia dasar kerajaan yang sedang berjalan atau janji politik untuk meraih sokongan? Apabila premis kerajaan digunakan untuk sesuatu program, adakah ia program rasmi yang neutral atau sudah menjadi pentas kempen terselindung?
Di sinilah konsep kerajaan sementara menjadi sangat signifikan.
Selepas DUN dibubarkan, kerajaan tidak terhenti. Pentadbiran awam tetap perlu berjalan. Rakyat masih memerlukan perkhidmatan keselamatan, kesihatan, pendidikan, imigresen, kebajikan dan pengurusan bencana.
Urusan harian kerajaan tidak boleh digantung semata-mata kerana pilihan raya sedang berlangsung. Namun, sifat kuasa kerajaan dalam tempoh ini berubah. Ia bukan lagi kerajaan yang beroperasi dengan mandat penuh seperti sebelum pembubaran tetapi secara sementara, terhad dan berhati-hati sehingga mandat baharu diperoleh daripada rakyat.
Di sinilah wujudnya ‘kebisuan perlembagaan’.
Konsep yang dipelopori oleh Albert dan Kenny (2018) ini menunjukkan ada kelompongan dalam isu-isu tertentu antaranya dalam kerajaan sementara yang menjadi cabaran kepada penggubal dan penafsir undang-undang terutamanya hakim-hakim dan ahli-ahli Parlimen untuk memberikan tafsiran kepada Perlembagaan.
Perlembagaan Persekutuan menyediakan kerangka mengenai pelantikan kerajaan dan pembubaran Parlimen, manakala undang-undang tubuh negeri mengatur pembubaran DUN.
Namun, dalam amalan Malaysia, masih belum wujud satu kerangka undang-undang yang benar-benar komprehensif mengenai had kuasa eksekutif selepas pembubaran dan sebelum kerajaan baharu dibentuk.
Berbeza dengan beberapa negara Komanwel seperti Australia dan United Kingdom (UK), Malaysia masih banyak bergantung kepada konvensyen, amalan, budi bicara politik dan disiplin pihak yang memegang kuasa.
Prinsip umum yang sering dirujuk ialah kerajaan sementara perlu mengelakkan keputusan dasar besar, kontrak signifikan, pelantikan penting atau perbelanjaan luar biasa yang boleh mengikat kerajaan baharu.
Masalahnya, prinsip ini belum dimaktubkan secara jelas dalam satu garis panduan rasmi yang menyeluruh, khususnya di peringkat negeri.
Ketiadaan kerangka yang jelas boleh menimbulkan pertikaian, terutama apabila wujud dakwaan penggunaan jentera kerajaan, pengumuman projek, pemberian bantuan atau penganjuran program rasmi semasa tempoh kempen.
Dalam sebuah demokrasi yang matang, sumber awam adalah amanah rakyat, bukan harta parti yang memerintah. Penjawat awam pula berkhidmat kepada negara dan rakyat, bukan kepada mana-mana kepentingan politik.
Oleh itu, apabila kerajaan berada dalam mod sementara, tuntutan terhadap neutraliti dan kesaksamaan menjadi lebih tinggi.
Isu yang tidak kurang penting ialah penggunaan premis, kakitangan dan sumber kerajaan sepanjang tempoh kempen. Secara prinsipnya, program rasmi kerajaan yang benar-benar perlu masih boleh diteruskan. Urusan keselamatan, kesihatan, imigresen, pengurusan bencana dan penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat tidak boleh dihentikan. Namun, program rasmi tidak boleh dijadikan wahana kempen politik.
Premis kerajaan tidak wajar digunakan untuk mempromosikan parti atau calon. Penjawat awam tidak seharusnya diarahkan terlibat dalam aktiviti politik. Kenderaan, peralatan, data, platform komunikasi rasmi dan jentera pentadbiran juga mesti kekal neutral serta bebas daripada kepentingan partisan.
Dari sudut undang-undang pilihan raya, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] tidak memperuntukkan satu larangan literal yang menyebut bahawa semua bentuk penggunaan premis kerajaan semasa tempoh kempen adalah satu kesalahan secara automatik.
Namun, akta tersebut mengawal perbuatan dan batas kempen pilihan raya melalui beberapa peruntukan penting.
Seksyen 24B, misalnya, memperuntukkan mengenai kempen pilihan raya dan batasannya.
Calon atau ejen pilihan raya boleh berkempen dalam tempoh berkempen tetapi perjumpaan awam, perhimpunan awam, ucapan awam atau syarahan awam tertakluk kepada permit polis.
Seksyen ini juga mengawal bahan kempen seperti poster, sepanduk, bendera, risalah, pelekat dan papan iklan sementara, termasuk larangan bahan kempen dalam jarak tertentu dari tempat mengundi.
Seksyen 15A Akta yang sama pula penting kerana ia menyentuh belanja tertentu semasa pilihan raya. Secara ringkasnya, perbelanjaan atau aktiviti yang bertujuan menganjurkan atau mendapatkan seseorang calon dipilih tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak selain calon, ejen pilihan raya atau orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh ejen pilihan raya.
Dalam konteks penggunaan sumber kerajaan, persoalan sebenar bukan semata-mata sama ada sesuatu premis digunakan tetapi siapa yang menganjurkan program tersebut, siapa yang membiayainya, apakah kandungan program itu dan sama ada ia memberi kelebihan politik kepada calon atau parti tertentu.
Jika sesuatu program rasmi kerajaan digunakan untuk mempromosikan calon, menyeru pengundi menyokong parti tertentu, menyerang lawan politik atau menonjolkan simbol parti, maka isu undang-undang dan tatakelola mula timbul.
Seksyen 8, Seksyen 9 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pula masing-masing berkaitan kesalahan penjamuan, pengaruh tidak wajar dan penyogokan.
Peruntukan ini tidak semestinya menyentuh secara langsung isu premis kerajaan. Namun, ia boleh menjadi relevan apabila sesuatu program rasmi disalahgunakan sehingga mengandungi unsur pemberian, tekanan, pengaruh tidak wajar atau janji manfaat kepada pengundi.
Di sinilah prinsip undang-undang pilihan raya dan prinsip kerajaan sementara bertemu.
Undang-undang pilihan raya mengawal perbuatan tertentu dalam kempen. Prinsip kerajaan sementara pula menuntut agar kerajaan yang sedang menunggu mandat baharu tidak menggunakan kedudukan, kuasa dan sumber awam untuk kelebihan politik.
Garis pemisah ini bukan sentiasa mudah. Ada program kerajaan yang sah dan perlu diteruskan.
Ada juga program yang pada zahirnya kelihatan rasmi tetapi dari segi kandungan dan kesannya menyerupai kempen. Oleh itu, penilaian perlu dibuat berdasarkan tujuan, kandungan, masa, pihak yang terlibat dan kesan politik program tersebut.
PRN Johor 2026 harus dilihat sebagai peluang untuk menilai semula keperluan Malaysia terhadap garis panduan kerajaan sementara yang lebih tersusun, khususnya di peringkat negeri.
Garis panduan sedemikian bukan bertujuan melumpuhkan pentadbiran kerajaan. Sebaliknya, ia memberi kepastian kepada semua pihak. Kerajaan tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
Penjawat awam tahu had peranan mereka. Parti politik tahu batas kempen mereka. Rakyat pula lebih yakin bahawa pilihan raya berlangsung secara adil dan telus.
Antara perkara yang wajar diperincikan termasuk penggunaan premis kerajaan, penglibatan penjawat awam, pengumuman projek baharu, pelantikan penting, kontrak berskala besar, perbelanjaan luar biasa, pemberian bantuan kerajaan, penggunaan media rasmi kerajaan dan komunikasi awam sepanjang tempoh kempen.
Kita harus belajar daripada siri perubahan politik sejak 2018, termasuk pertukaran kerajaan Persekutuan, episod peralihan kuasa pada 2020 dan fenomena Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Semua ini menunjukkan kestabilan institusi tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada budi bicara politik atau konvensyen yang longgar.
PRN Johor 2026 tidak harus dilihat hanya melalui lensa menang atau kalah. Ia juga cerminan tahap kematangan demokrasi kita dalam mengurus kuasa ketika mandat sedang dipulangkan kepada rakyat.
Dalam kerangka itu, prinsip asas kerajaan sementara haruslah jelas untuk teruskan pentadbiran yang perlu, elakkan keputusan besar yang tidak mendesak dan pastikan sumber awam tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik.
Akhirnya, integriti pilihan raya tidak hanya diukur melalui keputusan di peti undi. Ia juga diukur melalui cara kuasa digunakan sebelum rakyat memberikan mandat baharu.
Dalam tempoh antara pembubaran dan pembentukan kerajaan baharu, kerajaan hanyalah pemegang amanah sementara. Apabila amanah itu dicampuradukkan dengan kepentingan partisan, yang rugi bukan sekadar lawan politik. Yang lebih besar taruhannya adalah kepercayaan rakyat terhadap demokrasi itu sendiri.-UTUSAN
LYDIANA Mansor ialah Peguambela dan Peguamcara serta Penyelidik Doktor Falsafah (PhD) di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengkaji model perundangan kerajaan sementara.
DR. Ikmal Hisham Md. Tah ialah Pensyarah Kanan di Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










