PADA umumnya politik negara berada dalam keadaan ‘kecelaruan’ sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Kecelaruan yang dimaksudkan merujuk darjah kestabilan yang rendah berbanding tempoh masa sebelumnya.
Sebelum PRU 2018 (khususnya sebelum 2008), politik negara berada secara relatifnya dalam keadaan stabil.
Kestabilan itu merujuk terbentuknya sebuah parti politik atau gabungan parti poliik yang mempunyai majoriti besar dan selamat dalam Dewan Rakyat. Posisi parti politik utama yang menang pilihan raya mempunyai kedudukan kuat dan selamat selain sukar diganggu-gugat pembangkang.
Keadaan ini mula berubah selepas PRU 2008, apabila bilangan ahli Parlimen daripada pihak pembangkang semakin besar dan menggugat kedudukan parti politik yang membentuk kerajaan.
Kedudukan dan bilangan ahli Parlimen pihak kerajaan semakin kecil pada PRU 2013 sehingga berlaku peralihan kerajaan kepada gabungan parti poliik baharu pada 2018. Selepas PRU 2018, dapat dilihat kestabilan politik negara berada dalam keadaan ‘kecelaruan.’
Parti-parti politik yang membentuk kerajaan berada dalam keadaan yang tidak stabil. Ini kerana gabungan tersebut ‘terpaksa’ membentuk kerajaan. Hal ini kerana gabungan yang terbentuk bukan berasaskan persamaan falsafah politik dan perjuangan asas sebenar tetapi kerana bagi membolehkan kerajaan Persekutuan terbentuk.
Akhinya kerajaan yang terhasil atas dasar sedemikian tidak kekal lama dan gagal membentuk kestabilan sebenar.
Malah, berlaku empat perubahan jawatan perdana menteri dalam tempoh selepas PRU 2018 hingga PRU November 2022.
Selepas PRU 2022 pula berlaku kedudukan Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik berjaya membentuk majoriti mudah (iaitu sekurang-kurangnya 122 kerusi Parlimen).
PRU15 gagal menghasilkan keputusan yang boleh membina kestabilan politik negara. Akhirnya ketua negara harus campur tangan bagi mengelakkan kedudukan Parlimen tergantung dalam tempoh masa panjang.
Dengan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, maka gabungan parti-parti politik yang berbeza falsafah dan perjuangan (DAP dan UMNO) berjaya bekerjasama bagi mencukupkan bilangan ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya dilantik mengambil alih jawatan perdana menteri, sekali gus memberi perspektif kerajaan stabil sehingga ke hari ini.
Namun, untuk menyatakan kedudukan Anwar benar-benar kukuh dan stabil masih dalam tanda tanya.
Ini kerana kedudukan beliau hanya boleh dikatakan stabil dan kukuh jika kekal sebagai perdana menteri selepas PRU16. Ini sekali gus menunjukkan beliau mendapat sokongan besar pengundi (khususnya majoriti bumiputera, bangsa Melayu) dan juga gabungan kerjasama antara DAP dan UMNO.
PRU16 akan datang mempunyai makna besar dalam menuju kestabilan politik. Rakyat dan pengundi seluruh negara perlu membuat keputusan bijak dan tepat.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada esok merupakan bayangan awal yang penting dalam melihat percaturan parti politik dan proses membina kestabilan.
Dalam keadaan pengurusan parti-parti politik yang semakin mencabar, peranan pengundi menjadi semakin penting dalam menentukan hala tuju negara. Terdapat dua perkara utama yang perlu diberi perhatian, iaitu memastikan peratusan keluar mengundi berada pada tahap tinggi, sebaik-baiknya melebihi 80 peratus, serta membuat pilihan yang tepat terhadap parti politik ketika membuang undi.
Ini kerana peratus keluar mengundi yang besar adalah antara faktor penting dalam amalan demokrasi. Sepatutnya semua pengundi berdaftar perlu membuang undi. Ini adalah hak rakyat yang sangat besar dan penting.
Amalan mengambil mudah dan memandang remeh proses mengundi perlu dihentikan. Budaya yang wajar dipupuk ialah kesedaran setiap rakyat yang layak wajib menunaikan tanggungjawab kerana setiap undi memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara.
Begitu juga pemilihan parti politik yang tepat penting dalam suasana politik semakin mencabar. Pengundi tidak seharusnya membuat pilihan secara sambil lewa tanpa meneliti serta menilai terlebih dahulu latar belakang, matlamat penubuhan dan falsafah sesebuah parti politik.
Keputusan mengundi perlu dibuat secara matang dan berasaskan maklumat yang tepat, bukannya dipengaruhi emosi atau sentimen semata-mata.
Pengundi bangsa majoriti iaitu bangsa Melayu penting dalam kedudukan politik yang bercelaru ketika ini.
Walaupun orang Melayu merupakan kumpulan penduduk dan pengundi terbesar negara, namun sekiranya mereka salah perkiraan dalam membuang undi, akan menyebabkan bangsa itu hilang kuasa dan hak keistimewaan sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
Perpecahan sokongan dalam kalangan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu sehingga tiada satu pun gabungan memperoleh sokongan yang kukuh boleh menyebabkan kuasa politik Melayu semakin lemah dan sukar dipertahankan.
PERKARA 153
Pelaksanaan Perkara 153 dalam amalan tidak semestinya berlaku sepenuhnya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Sebaliknya, pelaksanaannya banyak dipengaruhi oleh tafsiran serta realiti politik semasa. Justeru, pendekatan terhadap Perkara 153 pada hari ini mungkin berbeza daripada tafsiran yang pernah digariskan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Pada era pentadbiran beliau, pelbagai dasar dibentuk berasaskan semangat Perkara 153 yang memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak. Tanpa kekuatan politik yang kukuh, pendekatan sedemikian sukar dilaksanakan dalam keadaan semasa.
Sehubungan itu, pengundi, khususnya dalam kalangan majoriti bumiputera Melayu, perlu membuat pilihan secara bijaksana bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara di samping menjamin kestabilan negara.
Hakikatnya, kestabilan politik berkait rapat dengan kemakmuran serta pembangunan ekonomi. Tanpa kestabilan, usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi menjadi lebih sukar.
Gabungan antara pemilihan yang tepat dan penyertaan pengundi yang tinggi akan menyumbang kepada kestabilan politik, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Ketua Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).










