SAUDARA PENGARANG,
BERITA yang saya tunggu-tunggu selama ini, akhirnya Ahmad Syihan Hazmi digugurkan dalam Skuad Kebangsaan dalam dua perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan ini.
Walaupun tanpa penjaga utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon masih mempunyai pilihan penjaga gol lain yang sama hebat seperti Ahmad Syihan.
Tidak dinafikan Ahmad Syihan sebelum ini beraksi cemerlang namun prestasinya dilihat semakin merosot sejak menyertai JDT.
Harimau Malaya terpaksa turun dengan skuad ‘tempang’ sebagaimana pernah berlaku semasa Kejohanan Piala Tiger tahun lepas. Pan Gon tetap tenang walaupun kini skuad yang dikemudinya dilihat kian tempang dan situasi ini lebih meresahkan peminat sukan bola sepak negara yang merasakan skuad Harimau Malaya tiada harapan susulan beberapa tonggak pemain utama tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.
Ketiadaan tonggak pemain utama bukanlah masalah besar kerana ‘konsep’ permainan bola sepak adalah secara berpasukan dan masih mempunyai beberapa pilihan pemain lain yang tidak kurang hebatnya seperti Adib Raof dan Engku Nur Shakir Engku Yacob yang mula memikat hati Pan Gon.
Oleh hal demikian pemain muka baharu yang terpilih ini akan bermain dalam dua aksi terakhir prakelayakan Piala Dunia hendaklah tidak mempersiakan peluang yang diberikan dan berharap mereka dapat menunjukkan persembahan yang berkualiti seterusnya membantu mencipta kemenangan yang dicari bagi menghidupkan peluang ke pusingan ketiga praPiala Dunia dan Piala Asia tanpa bermain secara play-off.
Walaupun skuad Harimau Malaya yang akan turun bermain pada kali ini boleh dikatakan agak tempang tanpa pemain utama malah terpaksa bergelut dengan pasukan lawan yang dianggap kebal di gelanggang sendiri namun Harimau Malaya tiada pilihan lain selain membawa misi wajib menang di Stadium Dolen Omurzakor Kyrgyzstan, hari ini.
Sementara bagi peminat sukan bola sepak hendaklah kekal positif disamping sama-sama mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya agar layak ke peringkat seterusnya.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang










