Indeks Malaysia Negara Rahmah bertambah baik

Indeks Malaysia Negara Rahmah bertambah baik

PELAKSANAAN dan pemantauan juga penting bagi menambah baik inisiatif-inisiatif yang diwujudkan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SKOR Indeks Malaysia Negara Rahmah atau IMNR telah meningkat dari tahun ke tahun dengan skor 6.09 pada tahun 2021, 6.47 pada tahun 2022, kepada 7.24 pada tahun 2023. IMNR bertujuan untuk mengukur persepsi masyarakat terhadap pencapaian Malaysia dalam usaha menjadi negara Rahmah berdasarkan 12 ciri yang telah digariskan.

12 ciri negara rahmah meliputi aspek tadbir urus, sosioekonomi serta peranan aktif Malaysia di peringkat antarabangsa. Indeks ini telah dibangunkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

Skor Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni menurun
Merujuk kepada dapatan IMNR 2023, skor bagi semua ciri menunjukkan peningkatan yang baik iaitu kecuali Ciri 7 iaitu Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni. Skor ciri ini meningkat daripada 6.92 (2021) kepada 7.40 (2022), tetapi menurun kepada 7.13 pada tahun 2023. Walau bagaimanapun, skor bagi ciri ini masih pada tahap sederhana.

Ciri 6 iaitu Institusi Keluarga yang Utuh masih kekal mendapat skor tertinggi selama tiga tahun berturut-turut. Ciri 9 pula iaitu Agihan Kekayaan yang Saksama mencatatkan skor terendah dengan skor 6.14, namun meningkat sebanyak 0.19 daripada tahun sebelumnya.
Ciri 12 iaitu Menerajui Usaha Keamanan dan Kesejahteraan Sejagat menunjukkan skor dengan peningkatan paling tinggi iaitu sebanyak 1.27; daripada skor 6.66 (2022) kepada 7.93 (2023).

Kajian IMNR ini telah melibatkan sebanyak 3,192 responden merangkumi warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, mempunyai tahap pendidikan pasca-SPM dan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Koordinasi usaha pelbagai agensi
Dengan pelbagai dapatan kajian, data serta statistik yang telah wujud, perlu ada perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam apa sahaja tindakan yang mahu diambil. Pelaksanaan dan pemantauan juga penting bagi menambah baik inisiatif-inisiatif yang diwujudkan.

12 ciri Negara Rahmah ini pastinya perlu melibatkan semua kementerian dan agensi bukan sahaja di peringkat persekutuan, tetapi juga di peringkat negeri dan kerajaan tempatan. – UTUSAN

JANNATUN NISA JAHASNUM
Penyelidik Kajian Dasar IKRAM (KADRI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN