Ambil pendekatan sederhana terhadap pandangan Ibn Arabi

Ambil pendekatan sederhana terhadap pandangan Ibn Arabi

TIDAK seharusnya polemik berkaitan Ibn Arabi menjadi sebab untuk umat Islam bermusuhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ANTARA tokoh yang mengundang kontroversi dalam kalangan umat Islam ialah Ibn Arabi. Ada ulama berpendapat bahawa Ibn Arabi adalah wali yang agung namun ada ulama berpendapat bahawa Ibn Arabi adalah sesat bahkan kafir.
Dalam hal ini, kita umat Islam perlu lebih bijak dan bersikap sederhana. Maka kita tidak perlu terlibat secara serius dalam membincangkan Ibn Arabi sama ada beliau wali atau sesat. Sebaliknya kita hanya menyatakan pendapat ulama sahaja tanpa menetapkan pandangan kita.

Ibn Arabi termasuk dalam golongan umat yang telah berlalu masanya. Kita fokus kepada iman dan amalan diri sendiri. Ini adalah jalan selamat dan terbaik. Kita tidak perlu membuat tuduhan sesat apatah lagi kafir terhadap Ibn Arabi.
Ini kerana pelbagai sebab. Antaranya kita tidak hidup pada zaman beliau dan tidak mengenalinya. Antaranya kerana kemungkinan wujud penyelewengan terhadap kitab asal Ibn Arabi sehingga wujud perkataan atau ayat yang menimbulkan keraguan.

Adapun kitab Ibn Arabi, ciri yang ada pada kitabnya agak sukar difahami. Justeru itu ia biasanya menimbulkan kontroversi. Oleh kerana itu, kitab-kitab Ibn Arabi biasanya tidak diterima baik dalam tradisi ilmu tasawwuf.

Maka sepatutnya kita tidak membawa kitab-kitab Ibn Arabi dalam masyarakat Islam. Sebaliknya kita mempunyai pilihan untuk meneliti kitab tasawwuf yang lebih awal seperti Ihya ‘Ulum al-Din, Minhaj al-‘Abidin dan sebagainya.

Para ulama terdahulu bijak membawa diri dalam masyarakat Islam. Maka majoriti kitab tasawwuf disusun dengan bahasa yang mudah dan jauh dari kontroversi.

Adalah harus untuk kita mengambil pandangan Ibn Arabi yang sesuai dengan zahir syarak. Hadis Nabi s.a.w. menyebut bahawa hikmah adalah barang hilang daripada orang beriman.

Kita berhak mengambil hikmah dari mana sahaja. Bahkan kita tidak kekok untuk mengambil pandangan orang bukan muslim, pandangan ahli falsafah dan sebagainya yang kita nilai sebagai baik dan bermanfaat.

Maka jika ada kata-kata Ibn Arabi yang kita nilai sebagai baik dan bermanfaat maka sewajarnya kita mengambil manfaat. Sebaliknya, jika ada kalam yang tidak sesuai dengan syarak maka kita menolaknya.

Tidak seharusnya polemik berkaitan Ibn Arabi menjadi sebab untuk umat Islam bermusuhan. Namun bunga-bunga kebencian dan permusuhan mulai nampak tubuh antara pendokong Ibn Arabi dan pembenci Ibn Arabi.

Pihak berkuasa agama perlu mengambil langkah tegas dan berhikmah mengatasi kebencian dan permusuhan ini. Musuh Islam bertepuk tangan melihat kekalutan umat Islam bergaduh dalam perkara yang tidak memberi impak besar kepada Islam, kepada umat Islam dan kepada pembinaan negara bangsa yang kuat.

Mengkritik dan menolak sesuatu pandangan dengan beradab tidak termasuk dalam menyakiti seseorang. Jika ada pandangan Ibn Arabi yang kita nampak benar maka akuilah kebenaran itu.

Jika ada pandangan Ibn Arabi yang kita nampak salah, maka nyatakan ketidaksetujuan kita terhadap pandangan Ibn Arabi. Fokuslah kepada pembinaan akhlak mulia, penyucian jiwa, khusyuk dalam solat, sifat kehambaan dan sebagainya. Ini jauh lebih baik daripada pening memahami maksud dalam kitab Ibn Arabi. – UTUSAN

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR
Jabatan Pengajian Kenegaraan Dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, UPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN