TEKNOLOGI keselamatan seperti keselamatan siber, blockchain, dan verifikasi dua faktor sahaja tidak mencukupi untuk melindungi data pengguna daripada serangan dan penipuan kecerdasan buatan (AI). Keselamatan itu haruslah juga dari kesedaran dan sikap berhati-hati pengguna itu sendiri dalam memahami ancaman penipuan AI.
Oleh demikian, pentingnya untuk mendidik masyarakat agar sentiasa berwaspada, lebih berhati-hati semasa berkongsi maklumat atau sebarang data peribadi di media sosial dan internet. Lambakan data peribadi yang tidak dikawal ini membawa kepada kewujudan data-data yang sedia dikongsikan. Inilah yang menjadi sumber yang mana digunakan oleh teknologi AI untuk dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Untuk mengekang situasi kritikal ini, wajar untuk kita saling berkongsi pengetahuan serta terus memberikan kesedaran dan pendidikan kepada pengguna tentang potensi penyalahgunaan teknologi AI.
Langkah segera memberikan kempen kesedaran yang intensif perlu dipergiatkan kepada masyarakat keseluruhannya serta memberikan mereka garis panduan dalam mengenali informasi palsu serta berupaya mengesan manipulasi siber. Ini adalah sangat penting dan wajar diberi perhatian penuh oleh individu dalam masyarakat serta golongan yang mempunyai kuasa membuat polisi.
Memandangkan AI kini merupakan teknologi yang semakin giat berkembang dan sudahpun menjadi agenda negara, justeru tindakan pantas agar pakar bidang AI dan pemegang taruh untuk segera menetapkan garis panduan dan etika dalam penggunaan AI amat diperlukan.
Potensi pembangunan masa depan negara kini mengiktiraf peranan teknologi AI, namun kita juga perlu cakna terhadap potensi serangan-serangan keselamatan yang berupaya melumpuhkan kedaulatan peribadi serta berkemungkinan merebak dalam rantau politik.
Perubahan dasar melibatkan struktur perundangan, mekanisme keselamatan serta peruntukan hukuman yang setimpal perlu segera dilaksanakan bagi membendung penyalahgunaan AI.-UTUSAN
DR. NUUR ALIFAH ROSLAN
Pensyarah Kanan Jabatan Multimedia
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat,
Universiti Putra Malaysia (UPM)










