Bekas eksekutif WCT gagal rayuan, kekal diarah bayar RM5.83 juta kepada SC kes dagangan orang dalam - Utusan Malaysia

Bekas eksekutif WCT gagal rayuan, kekal diarah bayar RM5.83 juta kepada SC kes dagangan orang dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2022 yang mendapati bekas Timbalan Pengarah Urusan WCT Bhd. (WCT), Goh Chin Liong, dan seorang lagi defendan, Leong Ah Chai, yang juga pengarah Ara Holdings Sdn Bhd., bertanggungjawab atas kesalahan dagangan orang dalam.

Mahkamah turut mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kedua-dua defendan membayar sejumlah RM5.83 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung pelanggaran tersebut.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Leonard David Shim dan Datuk Aliza Sulaiman sebulat suara menolak rayuan kedua-dua defendan serta memerintahkan mereka membayar kos rayuan sebanyak RM100,000 setiap seorang. 

Mahkamah memutuskan tiada sebarang kesilapan yang mewajarkan campur tangan di peringkat rayuan.

Mahkamah turut mengekalkan perintah supaya Goh dan Leong masing-masing membayar RM2,542,184.70 sebagai pemulangan keuntungan atau kerugian yang berjaya dielakkan, penalti sivil RM300,000 serta kos RM75,000 kepada SC.

SC memfailkan tindakan sivil terhadap kedua-dua defendan pada 2015 atas dakwaan melanggar Seksyen 188(2) dan 188(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 berkaitan dagangan orang dalam.

Berdasarkan keterangan SC, Goh didakwa menyampaikan maklumat material yang belum didedahkan kepada umum kepada Leong berhubung pembatalan kontrak pembinaan litar lumba di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. 

Kontrak itu sebelum ini diberikan kepada syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh WCT dan Arabtec Construction LLC.

Susulan maklumat tersebut, Leong menjual sebanyak 1.64 juta saham WCT melalui akaun dagangan Ara Holdings antara 2 hingga 5 Januari 2009.

Sebelum ini, pada 26 Mei 2026, SC berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan perintah garnisi terhadap Goh dan Leong, sekali gus membolehkan penguatkuasaan bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman RM5.83 juta. 

Susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu, SC akan meneruskan langkah seterusnya bagi mendapatkan semula jumlah berkenaan daripada kedua-dua defendan.

SC berkata, dagangan orang dalam merupakan pelanggaran serius kerana menjejaskan integriti pasaran modal serta menghakis keyakinan pelabur. 

“Keputusan Mahkamah Rayuan itu menghantar mesej jelas salah laku sedemikian tidak akan dikompromi, dan pihaknya akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan bagi memelihara integriti serta keyakinan awam terhadap pasaran modal Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN