KUALA LUMPUR: Pengasas produk kesihatan, Wan Razila Iluni Wan Ramli mendedahkan syarikatnya kerugian lebih RM500,000 akibat kegiatan penjualan produk melalui pasaran gelap, dipercayai turut menjejaskan reputasi jenama berkenaan.
Katanya, kegiatan itu mula dikesan sekitar Mac lalu selepas syarikat menerima pelbagai aduan pengguna di media sosial yang mendakwa keberkesanan produk berkenaan tidak lagi seperti sebelum ini.
“Susulan aduan tersebut, saya segera menjalankan siasatan dalaman dan menghentikan sementara pengeluaran produk.
“Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pengguna serta menjaga integriti jenama,” katanya.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati kegiatan pasaran gelap itu membabitkan seorang kakitangan syarikat yang bersama satu rangkaian lebih besar.
“Berdasarkan maklum balas pengguna, syarikat turut mengesyaki terdapat produk di pasaran dimanipulasi dari segi kandungan atau formulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Namun perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.
Selain itu, tegasnya, semua urusan berkaitan tindakan undang-undang termasuk laporan kepada pihak berkuasa telah diserahkan sepenuhnya kepada pasukan guaman syarikat untuk tindakan lanjut.
“Kalau boleh kita nak saman pelaku semaksimum mungkin, kalau boleh cecah RM1 juta, kita akan teruskan tindakan mahkamah,” katanya.
Katanya lagi, insiden tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan yang besar, malah memaksa syarikat menghentikan sementara pengeluaran produk selepas jenama produk itu berdepan kecaman pengguna.
“Bagi memulihkan keyakinan pelanggan, syarikat kini sedang membangunkan semula produk berkenaan dengan pembungkusan baharu serta penambahbaikan formulasi sebelum dipasarkan semula.
“Pembungkusan pula ada aspek keselamatan supaya tidak menjadi mangsa manipulasi dan tiruan termasuk hologram khas,” katanya.
Madam Yuniey turut mengakui terdapat kelemahan dalam aspek pengurusan dalaman yang membuka ruang kepada kegiatan pasaran gelap itu berlaku.
Justeru, katanya, syarikat akan melaksanakan penstrukturan semula melibatkan sistem pengurusan, kawalan operasi dan rangkaian ejen jualan bagi memperkukuhkan tadbir urus syarikat.
“Syarikat tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau ejen yang didapati terbabit dalam kegiatan pasaran gelap.
“Tindakan undang-undang akan diambil selain disenaraihitamkan daripada rangkaian ejen rasmi,” katanya.
Tambahnya lagi, insiden itu menjadi pengajaran besar kepada syarikat untuk memperkukuhkan kawalan dalaman, meningkatkan ketelusan operasi serta memastikan hanya produk tulen dan berkualiti dipasarkan kepada pengguna.-UTUSAN










