PETALING JAYA: Golongan usahawan kecil dan sederhana di negara ini berdepan risiko menjadi ‘halimunan’ atau tersisih daripada pasaran digital masa hadapan berikutan trend pembeli masa kini yang mula beralih arah menggunakan pembantu beli-belah kecerdasan buatan (AI).
Menyedari jurang teknologi itu, platform pembayaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Asia Tenggara, HitPay, mengumumkan inisiatif baharu yang membolehkan setiap Kedai Dalam Talian HitPay di Malaysia dikesan oleh pembantu AI secara automatik tanpa sebarang kos tambahan.
Langkah itu membolehkan perniagaan kecil tempatan mendapat tempat dalam hasil carian beli-belah AI, sekali gus merapatkan jurang penguasaan teknologi yang ketika ini masih tertumpu kepada firma berskala besar.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif HitPay, Aditya Haripurkar berkata, Malaysia telah pun meletakkan asas digitalisasi yang kukuh menerusi sambungan internet yang meluas serta penggunaan sistem pembayaran DuitNow yang menyeluruh.
“Namun, apa yang masih kurang bagi kedai-kedai kecil adalah persediaan teknikal yang membolehkan platform mereka dibaca oleh sistem AI, iaitu satu proses yang sebelum ini memerlukan kepakaran pembangun perisian serta bajet yang besar.
“Di sinilah kami memainkan peranan dengan membina sistem terbina dalam ini. Apabila pelanggan mula bertanyakan pembantu AI mengenai barangan yang ingin dibeli, perniagaan kecil di Malaysia sepatutnya berada dalam jawapan cadangan itu dari saat ia mula beroperasi, bukannya ketinggalan di belakang firma besar,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat tersebut menjelaskan, meskipun usahawan PKS membentuk kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan keseluruhan pendaftaran perniagaan di Malaysia, majoriti kedai dalam talian mereka tidak dapat dikesan oleh pembantu AI seperti ChatGPT atau Perplexity.
Walangkan kadar penembusan internet di negara ini sudah mencecah hampir 98 peratus dengan urus niaga DuitNow QR mencatatkan tiga bilion transaksi pada tahun 2025, perbelanjaan transformasi digital masih lagi dimonopoli oleh syarikat besar iaitu merangkumi 63 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan tahun lalu.
Data daripada firma analisis Bain turut mendedahkan bahawa 39 peratus pengguna di rantau Asia Pasifik sudah mula menggunakan AI semasa membeli-belah dalam talian, manakala 40 peratus lagi merancang untuk berbuat demikian tidak lama lagi.
Malah, McKinsey mengunjurkan sektor perdagangan yang dipacu oleh AI ini mampu menyumbang sekitar AS$3 trilion hingga AS$5 trilion dalam perbelanjaan runcit global menjelang tahun 2030.
Bagi menangani isu berkenaan, HitPay kini menyediakan sistem yang membolehkan kedai dalam talian di bawah platformnya menerbitkan katalog produk, nama, harga, serta baki stok versi mesra pembaca mesin yang dikemas kini sepanjang hari.
Langkah ini bagi memastikan pembantu AI mendapat maklumat terkini secara tepat selain menghantar isyarat digital yang menandakan perniagaan tersebut sedia menerima pelanggan.
Ciri terbaharu ini disokong penuh oleh platform pembinaan laman web e-dagang HitPay Online Store yang turut mengintegrasikan kod DuitNow QR, pembayaran FPX, serta dompet digital utama termasuk Touch ‘n Go eWallet bersama lebih 50 kaedah pembayaran lain.
Peluncuran inisiatif itu juga dilihat sejajar dengan langkah kerajaan memacu sasaran AI Nation 2030 serta usaha memperluas geran digital PKS mikro di bawah Belanjawan 2026. –UTUSAN










