SAUDARA PENGARANG,
GELOMBANG pemikiran khawarij dan takfiri di negara ini kini di tahap yang melampau lagi membimbangkan. Apa tidaknya, dengan mudahnya seseorang itu melabel orang yang tidak sehaluan atau sekumpulan dengan dirinya dengan pelabelan yang melampau.
Pemikiran khawarij baharu yang dapat dilihat kini ialah menjatuhkan mana-mana kerajaan yang dilabelkan sebagai zalim, manakala takfiri pula merujuk kepada tuduhan mengkafirkan orang lain dengan mudah.
Menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, golongan ghuluw iaitu keterlaluan atau melampau menerapkan kefahaman ekstrem dalam memahami serta mengambil sesuatu tindakan dan ghuluw dalam beragama ialah sikap melampau batas dalam perintah agama.
Seharusnya semua pihak senada dengan usaha kerajaan yang sentiasa memantau pengajaran agama Islam di semua platform supaya tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Ini bersesuaian dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 5 Mei 1996 bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan ASWJ.
TABAYYUN DAN SELIDIKLAH
Allah memerintahkan supaya kita menyelidik serta mendapatkan kebenaran berita yang disampaikan seseorang. Ia bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini.
Syeikh al-Maraghi menyatakan bahawa Allah telah mengajar hambanya supaya beradab mulia dalam soal agama ataupun dunia. Apabila seseorang yang fasik datang memberitahu sesuatu berita yang bertentangan dengan syiar agama, jangan mempercayai beritanya itu melainkan dengan menyelidik serta menelitinya terlebih dahulu.
RAWAT SEBELUM PARAH
Bagi merealisasikan sebuah negara yang harmoni lagi sejahtera, kita perlukan gerakan untuk mempopularkan dan menormalisasikan gaya hidup Islam sebenar berteraskan konsep al-wasatiyyah.
Ia penting sebagai langkah preventif sebelum fahaman ekstremisme berperanan dengan lebih berbahaya dalam memporak-perandakan kehidupan umat Islam dan juga masyarakat.
Jika situasi tersebut masih berlaku, pada kala itu bolehlah pendekatan kawalan undang-undang diambil. Sebagai contoh, penguatkuasaan POTA (Preventation of Terrorisme Act 2015) dilaksanakan.
Dalam usaha mewujudkan masyarakat harmoni ini juga, peranan serta kerjasama setiap masyarakat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa mahupun kefahaman politik diperlukan.
Pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti ditekankan dalam Fiqh al-Ta’ayush (peaceful co-existence) wajar diterapkan dalam semua lapisan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
Aliran ekstremisme, jika amalannya dalam konteks individu, boleh jadi kesannya tidaklah seburuk dan sebahaya mana jika ia merupakan pegangan dan amalan sesuatu kelompok atau kaum tertentu sahaja.
Namun, ia akan menjadi ketara dan cenderung menjurus ke arah perselisihan pendapat dan permusuhan sesama Muslim. Yang lebih dibimbangi, perselisihan pendapat ini membawa kepada kerosakan yang lebih besar.
Jadi, ayuhlah! Bersama-sama kita wujudkan Malaysia yang lebih baik buat diri kita sendiri dan generasi akan datang dengan mewujudkan suasana yang aman dan harmoni berlandaskan konsep Rahmatan Lil Alamin (rahmah kepada seluruh alam). – UTUSAN
ATRIZA UMAR
Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat Pertubuhan IKRAM Malaysia










