SAUDARA PENGARANG,
DENGAN perasaan duka cita diucapkan ribuan ‘terima kasih’ kepada pihak Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) kerana sehingga 18 Mei lalu, beberapa aduan yang dibuat oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sejak empat tahun lalu berkaitan penambahan pemasangan lampu jalan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong Hulu Terengganu, Terengganu masih lagi tidak diendahkan.
Bahkan, sudah beberapa kali kami menulis aduan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia, namun masih tiada apa-apa tindakan dan pihak PIBG amat kecewa kerana MDHT mengambil masa yang begitu lama, sehingga bertahun-tahun lamanya untuk selesaikan isu berkaitan keselamatan pelajar.
Permohonan kami cuma untuk penambahan lampu di hadapan sekolah, itu sahaja.
Dalam perkara ini, boleh disimpulkan bahawa jabatan-jabatan yang berpusat di Hulu Terengganu masih mewarisi saki baki ‘dendam’ dari kakitangan terdahulu.
Ia berlaku apabila kebangkitan kaum tani di Kuala Telemong pada 20an yang digerakkan oleh Abdul Rahman Limbong masih ‘tertanam’ di lubuk jiwa dalam Jabatan Pentadbiran Daerah Hulu Terengganu. Ia mungkin menjadi dendam kesumat.
Jika tidak begitu, mustahil pembangunan infrastruktur di Kuala Telemong tidak seperti di tempat-tempat lain di kawasan Daerah Hulu Terengganu.
Sebagai contoh, perumahan rakyat yang dibina pada tahun 80an (sewaktu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN Manir) dan sehingga kini tiada penambahannya.
Kalau diamati dari segi politik mahupun dengan pentadbiran kerajaan daerah, Kuala Telemong boleh dianggap sebagai mangsa diskriminasi dan dendam dalam mengurus selia. – UTUSAN
AZLAN
Kuala Telemong, Hulu Terengganu.










