Sukan sepatutnya menyeronokkan bukan menakutkan

Sukan sepatutnya menyeronokkan bukan menakutkan

MENGUBURKAN impian seorang pemain yang berusaha keras untuk berjaya ini adalah satu bentuk kekejaman. – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU seminggu selepas insiden kes samun Akhyar Rashid diiringi kejadian kes simbah asid terhadap seorang lagi pemain kebangsaan Faisal Halim dan amaran dilakukan terhadap seorang lagi pemain bola sepak negara iaitu Safiq Rahim menunjukkan pelaku seolah-olah memberi isyarat terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kejadian ini seharusnya memberi iktibar kepada pihak FAM supaya menitikberatkan soal keselamatan pemain kebangsaan negara kerana pemain merupakan aset utama persatuan ini. Saya khuatir mereka yang melakukan ini mempunyai dendam dengan orang yang mempunyai pengaruh dalam badan FAM ketika ini apatah lagi ada ura-ura menyatakan untuk bertanding jawatan Presiden FAM akan datang dan cuba mencalarkan imej Presiden FAM yang sedang menggalas jawatan ini.

Saya menggesa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pengurusan FAM atau mungkin penyokong kelab yang fanatik untuk berhenti melakukan sesuatu yang menakutkan seperti ini kerana ia hanya menjadikan imej bola sepak negara tercalar teruk. Anda mungkin merasakan ini adalah satu ‘dendam’ atau ‘permainan’ tetapi hakikatnya menguburkan impian seorang pemain yang berusaha keras menjadi seberjaya ini adalah satu bentuk kekejaman.

Saya juga minta peminat bola sepak negara memberi ruang kepada Presiden FAM untuk melaksanakan tugas beliau sebagai Presiden FAM sehingga habis penggal ini. Janganlah kerana tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan sehingga menggadaikan masa depan orang yang tidak bersalah.

Saya menyeru rakyat Malaysia yang bersolidariti pada hari ini menggunakan hashtag #ProtectThePlayers atau #SelamatkanPemainNegara bagi menunjukkan solidariti atas kejadian yang menakutkan industri bola sepak tanah air. Siapapun individu terbabit anda tidak boleh melebihi undang-undang negara kerana negara ini milik kita bersama. – UTUSAN

YUSLAINI AZMI
Aktivis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN