Perkasa ekonomi komuniti Pulau Redang

Perkasa ekonomi komuniti Pulau Redang

BEBERAPA tarikan sedia ada berpotensi dijadikan produk pelancongan di Kampung Baru, Pulau Redang. – GAMBAR UMT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PULAU Redang adalah sebuah destinasi pelancongan marin popular dengan pantai yang indah, air jernih dan ekosistem dasar laut yang menarik. Keunikannya telah mendapat perhatian pengunjung tempatan dan luar negara yang inginkan ketenangan dan sukakan dunia pengembaraan.

Bagi menggalakkan limpahan ekonomi industri pelancongan yang ada di Pulau Redang kepada komuniti setempat khususnya penduduk Kampung Baru, Pulau Redang, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melaksanakan program pembangunan dan pemerkasaan produk pelancongan melibatkan komuniti pulau itu bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Penganjuran bengkel pemindahan ilmu melalui skim dana Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS) di bawah tadbir urus Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri Masyarakat (PPIJIM) UMT, program ini berjaya menerapkan ilmu berkaitan pemasaran produk pelancongan serta pendedahan berkaitan platform digital kepada 34 peserta pelbagai latar belakang perniagaan dan agensi.

Peserta program itu terdiri dari ahli Koperasi Pelancongan Kampung Pulau Redang, ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, ahli Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bot Pelancong Pulau Redang, pemilik dan pekerja Teratak Pak Jusoh serta usahawan produk.

Pengusaha rumah penginapan berpendapat ia pendekatan yang positif dan dapat memberikan idea baharu bagi penawaran produk pelancongan berasaskan tarikan sedia ada di kawasan Kampung Baru Pulau Redang.

Program ini juga dapat memperkasakan golongan belia di Kampung Baru dengan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan sebagai jurupandu tempatan serta perniagaan bersaiz mikro khususnya produk makanan tempatan dan kraftangan.

Program Pembangunan Produk Pelancongan dan Pemantapan Ekonomi Komuniti Pulau Redang ini telah dilaksanakan pada 21 hingga 23 Februari 2024 di Kampung Baru, Pulau Redang melibatkan sekumpulan tujuh orang penyelidik yang juga merupakan pensyarah dari Program Pengurusan Pelancongan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS).

Tidak ramai yang tahu terdapat sebuah kawasan perkampungan di Pulau Redang yang memiliki komuniti yang sangat tinggi nilai kemasyarakatannya. Kampung Baru ini memiliki kepelbagaian produk yang unik dan berpotensi besar untuk dipasarkan dan diperkenalkan kepada pelancong.

Modul bagi bengkel ini merangkumi tiga topik utama iaitu pembangunan produk pelancongan baharu dan potensi aktiviti di Kampung Baru, strategi pemasaran produk pelancongan dan pendigitalan produk pelancongan.

Hasil daripada penyelidikan yang dikongsikan antaranya adalah beberapa produk pelancongan baharu yang telah dikenal pasti seperti pakej lawatan berpandu, aktiviti berbasikal sekitar kawasan kampung, aktiviti mendaki bukit serta eksplorasi paya bakau.

Program ini dapat memberikan impak yang signifikan terhadap peningkatan ekonomi dan pemerkasaan komuniti setempat. Pengenalpastian beberapa tarikan sedia ada yang berpotensi dijadikan produk pelancongan di Kampung Baru, Pulau Redang dapat merancakkan lagi aktiviti perusahaan pelancongan dalam kalangan komuniti pengusaha produk pelancongan seiring dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dibawah strategi transformasi pekerjaan yang sesuai dan pembangunan ekonomi (SDG8), Industri, Inovasi dan Infrastruktur (SDG9) dan Bandar dan Masyarakat Mampan (SDG 11).

Pengenalpastian produk pelancongan ini juga merupakan satu langkah pemuliharaan budaya dan warisan setempat. – UTUSAN

DR. MUNIRA MHD. RASHID
& DR. KALSITINOOR SET
Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN