SAUDARA PENGARANG,
PENCEMARAN bahasa pada papan iklan adalah fenomena yang menimbulkan ancaman besar terhadap integriti linguistik dan warisan budaya. Isu ini ditunjukkan melalui penggunaan bahasa yang tidak betul, termasuk kesalahan tatabahasa, kesilapan ejaan dan ungkapan slanga. Perkara ini akan memberi kesan kepada pendidikan bahasa dan identiti budaya.
Kemunculan kosa kata baharu dalam pengiklanan seiring dengan perkembangan globalisasi telah mempercepat evolusi yang mengenepikan peraturan linguistik. Dari segi sejarah, papan iklan menjadi medium untuk menyampaikan mesej yang jelas dan ringkas kepada khalayak.
Peralihan ke arah bahasa yang lebih sensasi dan menarik perhatian menjejaskan standard tatabahasa bahasa Melayu. Walaupun terdapat peraturan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul, namun peraturan ini seolah-olah dipandang sebelah mata. Kalaupun ada penguatkuasaan, tindakan itu hanyalah ‘bermusim’.
Pencemaran bahasa pada papan iklan mempunyai implikasi yang signifikan terhadap pendidikan bahasa. Pendidik berusaha untuk menanamkan kemahiran bahasa yang betul kepada pelajar tetapi dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini menjadikan masalah itu mencabar bagi guru untuk mengukuhkan penggunaan bahasa yang betul.
Bahasa ialah komponen utama identiti budaya. Pencemaran bahasa pada papan iklan dapat mencairkan warisan budaya, kerana bahasa yang digunakan dalam iklan sering mengutamakan kepentingan komersial berbanding peraturan linguistik. Peralihan ini menyebabkan kehilangan kepelbagaian linguistik dan kelemahan hubungan budaya yang dikekalkan melalui bahasa.
Penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa lain pula menjadikan papan iklan tidak mendukung bahasa kebangsaan.
Penggunaan bahasa yang jelas dan betul di ruang awam menyumbang kepada perpaduan sosial dengan memastikan mesej difahami oleh semua ahli komuniti. Pencemaran bahasa pada papan iklan akan mewujudkan halangan kepada komunikasi, terutamanya bagi penutur bukan asli dan individu yang mempunyai tahap celik huruf yang lebih rendah. Hal ini akan mengundang kepada perpecahan sosial dan menghalang perpaduan masyarakat.
Dari perspektif komersial pula, pencemaran bahasa boleh memberi kesan negatif terhadap imej jenama. Syarikat-syarikat yang gagal menggunakan bahasa yang betul dalam iklan dianggap sebagai tidak profesional atau cuai. Ini boleh menyebabkan kehilangan kepercayaan pengguna dan penurunan kesetiaan jenama.
Justeru, pengiklan harus mengutamakan ketepatan dan kejelasan linguistik, dengan melibatkan pakar bahasa dalam penciptaan kandungan papan iklan. Badan kawal selia atau pihak berkuasa boleh mewujudkan garis panduan untuk penggunaan bahasa dalam iklan bagi memastikan standard kualiti yang lebih baik. – UTUSAN
DR. NORFAIZAL JAMAIN
dan NUR AFIFAH ABD RAHMAN HALAWA
Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya










