PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengutuk keras insiden ugutan bunuh terhadap ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan berpendapat isu keselamatan awam perlu dipandang serius oleh kerajaan.
Kami menuntut agar siasatan dan pendakwaan terhadap pihak terbabit disegerakan supaya keselamatan pemimpin DAP itu terjamin.
Biarpun kami berbeza pandangan politik, namun Gerakan yakin dan percaya semua parti politik di Malaysia tidak menyokong sebarang jenayah atau perbuatan yang boleh merosakkan keharmonian kaum.
Gerakan berharap Teresa Kok terus mendapat perlindungan yang tersedia di bawah undang-undang memandangkan kes keganasan dan ugutan itu kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
Selepas Balai Polis Ulu Tiram, terbaharu melibatkan serangan orang mabuk terhadap Balai Polis Dato’ Keramat di Pulau Pinang dan menurut laporan suspek ingin merampas senjata api.
Gerakan menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya mengaktifkan segala langkah-langkah keselamatan yang sedia ada dan membuat siasatan serta kajian terperinci mengenai keadaan keselamatan di Malaysia sekarang.
Di mana rakyat mahu berlindung sekiranya balai polis sekarang tidak selamat. Gerakan berharap perkara ini dapat ditangani dengan kadar segera kerana isu keselamatan awam ini turut memberi kesan kepada industri pelancongan negara.
Sebagai parti politik yang menjunjung dasar keselamatan negara, Gerakan menyeru seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat perlu memperkukuh kerjasama dan persefahaman dalam aspek pertahanan, keselamatan dalam negeri, sosial dan perihal perundangan.
Kita perlu saling lengkap melengkapi untuk memikul tanggungjawab ini demi memastikan rakyat negara ini dapat terus mengecapi nikmat keamanan.-UTUSAN
DATUK BALJIT SINGH
Naib Presiden Parti Gerakan
Rakyat Malaysia (Gerakan)










