Kredibiliti data rasmi penting dalam membuat keputusan

Kredibiliti data rasmi penting dalam membuat keputusan

KREDIBILITI data rasmi merujuk kepada kebolehpercayaan dan ketelusan data yang digunakan dalam membuat keputusan organisasi. Ini bermaksud data tersebut telah diselidiki, disahkan dan mempunyai kualiti yang tinggi serta dipercayai oleh pihak berkepentingan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEIRING dengan kemajuan teknologi dan perubahan dalam landskap tadbir urus organisasi, penggunaan data dalam membuat keputusan menjadi semakin penting. Data bukan sahaja menjadi sumber maklumat yang berharga tetapi juga landasan yang kritis bagi keputusan yang strategik dan berkesan.

Dalam dunia yang semakin kompleks dan berubah dengan cepat, kredibiliti data rasmi adalah aspek yang tidak boleh dipandang remeh dalam kepemimpinan organisasi.

Kredibiliti data rasmi merujuk kepada kebolehpercayaan dan ketelusan data yang digunakan dalam membuat keputusan organisasi. Ini bermaksud data tersebut telah diselidiki, disahkan dan mempunyai kualiti yang tinggi serta dipercayai oleh pihak berkepentingan.

Apabila data yang digunakan untuk membuat keputusan adalah sah, ia memastikan keputusan yang diambil berasaskan fakta dan analisis yang tepat, bukan hanya spekulasi atau pandangan peribadi.

Dalam era maklumat berlebihan dan berita palsu berkembang luas, organisasi perlu memastikan bahawa data digunakan adalah sahih, relevan dan boleh dipercayai. Tanpa kredibiliti data yang mencukupi, risiko membuat keputusan yang salah atau tidak berkesan meningkat secara signifikan.

Namun, untuk mencapai kredibiliti data rasmi yang tinggi, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin organisasi. Perkara paling asas ialah memastikan data yang dikumpulkan adalah tepat, lengkap dan sahih. Ini melibatkan proses yang teliti dalam pengumpulan data, pengesahan sumber data dan penilaian kualiti data sebelum digunakan dalam membuat keputusan.

Pemimpin organisasi perlu memastikan bahawa kaedah analisis yang digunakan adalah relevan, tepat dan berasaskan kepada praktis terbaik industri. Organisasi perlu menerapkan budaya ketelusan dalam pengurusan data. Ini termasuk memberikan akses data kepada pihak berkepentingan yang berkaitan dan mendedahkan proses analisis data kepada mereka yang terlibat dalam membuat keputusan.

Faktor pendidikan dan kesedaran data adalah aspek yang juga memerlukan perhatian untuk melatih kakitangan organisasi tentang pentingnya kredibiliti data dan bagaimana mengenal pasti data yang berkualiti. Ini melibatkan latihan tentang sumber data, analisis data dan kepentingan membuat keputusan berasaskan data.

Satu lagi aspek penting dalam peningkatan kualiti dan kredibiliti data adalah komunikasi data.

Dengan penggunaan data yang meluas kini, kualiti dan kredibiliti data harus sentiasa dititikberatkan agar kepercayaan kepada kepimpinan akan sentiasa diperoleh daripada warga dalam sesebuah organisasi. Kepincangan dalam kepercayaan kepada data akan membuatkan kerosakan kepada seluruh organisasi. – UTUSAN

Mohd Rafizi Rahmad dan Nur Syazwani Ahamad Azahari
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN