SAUDARA PENGARANG,
GURU sebagai agen utama sistem pendidikan memegang peranan yang penting dalam membentuk generasi akan datang. Namun, menjadi seorang guru yang berkesan bukan sekadar tentang menyampaikan fakta-fakta atau mengajar kemahiran akademik semata-mata sebaliknya mereka perlulah mempunyai sahsiah mulia.
Sahsiah mulia merangkumi keseluruhan watak dan nilai-nilai yang dimiliki oleh seorang guru meliputi kejujuran, kesabaran, empati, dedikasi dan teladan yang baik. Guru yang mempunyai sahsiah mulia bukan sahaja memperkaya pengetahuan pelajar, tetapi juga membentuk karakter mereka untuk menjadi individu yang bermoral dan bertanggungjawab.
Nabi Muhammad SAW juga mengajarkan mengenai dedikasi sebagai guru. Hal ini dapat dilihat pada hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.” (Riwayat al-Baihaqi)
Dedikasi yang tinggi menjadi tunjang utama dalam membentuk sahsiah seorang guru yang mulia. Guru yang berdedikasi tidak hanya memenuhi tanggungjawab akademik mereka, tetapi berusaha untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pendidikan. Mereka melabur masa dan tenaga untuk memastikan setiap murid mencapai potensi maksimum mereka.
Sebagai teladan yang baik, guru perlu memperlihatkan nilai-nilai yang dihormati oleh masyarakat. Guru tidak hanya mengajar dengan kata-kata, tetapi juga dengan tindakan mereka sehari-hari. Guru yang memberi teladan yang baik akan mempengaruhi pelajar untuk mengamalkan nilai-nilai tersebut dalam kehidupan mereka. Rasulullah sebagai guru kepada para sahabat sentiasa menjadi teladan terbaik bagi mereka.
Kesimpulannya, guru bersahsiah mulia merupakan asas kepada pendidikan berkualiti. Melalui sahsiah yang baik, guru mampu membentuk generasi akan datang yang tidak hanya cemerlang dari segi akademik, tetapi juga bermoral dan bertanggungjawab.
Oleh itu, penting bagi kita untuk mengiktiraf nilai-nilai sahsiah dalam membina profesionalisme guru dan memastikan masa depan yang cerah bagi pendidikan.-UTUSAN
DZULFAIDHI HAKIMIE DZULRAIDI
Universiti Malaya










