Tingkat sistem didik antibuli

Tingkat sistem didik antibuli

Pentadbiran sekolah berasrama perlu menyediakan pemantauan yang lebih ketat. Ini termasuk melantik warden secara sepenuh masa serta penggunaan teknologi seperti CCTV.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERTUBUHAN IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius kes buli dan penderaan ke atas seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan.
Kes buli telah berulang kali berlaku dan disiarkan di media. Tahun lepas dilaporkan 5,319 kes buli membabitkan murid sekolah telah direkodkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan.

IKRAM mengesyorkan supaya KPM segera beranjak kepada sistem pendidikan yang holistik dan bersepadu yang merangkumi pendidikan berasaskan nilai, pendidikan karakter, penerapan adab dan keunggulan karamah insaniah.

KPM perlu membudayakan persekitaran persekolahan yang berasaskan rahmah dan kasih sayang di institusi-institusi pendidikan, bukan sahaja mengukuhkan adab dan nilai-nilai karamah insaniah, tetapi juga menolak budaya negatif dan ekstremis.

Pentadbiran sekolah berasrama perlu menyediakan pemantauan yang lebih ketat. Ini termasuk melantik warden secara sepenuh masa serta penggunaan teknologi seperti CCTV.

Kepimpinan sekolah juga perlu memudah cara pelaporan atau aduan dibuat apabila bibit-bibit buli mula muncul dalam kalangan pelajar. Polisi perlindungan pengadu dan saksi perlu diwujudkan.

Pelajar-pelajar perlu diberi kesedaran tentang implikasi serta kesan buruk bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga pelaku dan keluarga masing-masing.

Peranan kaunselor sekolah perlu diperkasakan bagi mengenal pasti dan menangani masalah mental dan emosi pelajar. Bagi kes-kes tertentu, hukuman yang keras boleh dikenakan termasuk penggunaan rotan jika perlu.

Melaksanakan pendekatan menyeluruh melibatkan ibu bapa dan penjaga, bekerjasama dengan organisasi masyarakat, penguat kuasa undang-undang dan profesional kesihatan mental untuk menangani buli dalam dan di luar persekitaran sekolah. Kerjasama ini boleh menyediakan sumber tambahan dan sokongan untuk pencegahan dan intervensi. – UTUSAN

PROF DR. OMAR YAAKOB
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×