PADA 1 April yang lalu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya telah mengeluarkan satu hantaran mengenai Tatacara Berpakaian Dan Penampilan Pelajar Universiti Malaya (UM). Tatacara ini dikeluarkan sebagai panduan kepada seluruh mahasiswa dalam berpakaian di kawasan universiti.
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) bersama beberapa persatuan mahasiswa yang lain menyambut baik dan menyokong tatacara yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Kami melihat tatacara ini sebagai satu usaha dan langkah yang terbaik untuk mengukuhkan nilai dan etika seorang mahasiswa yang berkualiti dan profesional khususnya di Universiti Malaya.
Dalam pada itu, kami menyelar sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan oleh University of Malaya Association of New Youth (UMANY) atas bantahan terhadap tatacara pemakaian ini.
Bantahan yang dilakukan ini dilihat seolah-olah membawa nama kebajikan dan keselesaan kepada mahasiswa, namun, hakikatnya mereka menjadikan isu ini sebagai tiket untuk membawa agenda kebebasan yang melampau dan menggalakkan proses liberalisasi di dalam kampus.
Sebagai rakyat Malaysia, Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan haruslah dijunjung dan dipraktikkan sebagai bentuk menzahirkan perasaan cinta dan kasih kepada tanah air. Malahan, ia juga bertepatan dengan ajaran yang digalakkan oleh agama Islam yang menitikberatkan aspek adab dan etika dalam menuntut ilmu.
Oleh itu, pelaksanaan tatacara pemakaian ini bukanlah suatu langkah yang konservatif seperti yang digembar-gemburkan, namun, etika pemakaian yang sopan menunjukkan suatu keindahan peradaban dan ketinggian ketamadunan sesebuah negara.
Justeru, kami menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa UM untuk menyahut usaha ini dan bersama-sama mengamalkan tatacara pemakaian ini di kampus tercinta.-UTUSAN
EXCO TARBIYAH DAN KEPIMPINAN
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)










