SAUDARA PENGARANG,
INISIATIF Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) iaitu pembatalan pendaftaran secara dalam talian melalui sistem e-Dereg adalah langkah bijak dalam menyelaras, mempercepatkan pembatalan pendaftaran dan pelupusan kenderaan terbiar serta lusuh.
Proses nyah lupus kenderaan melalui kaedah digital memberikan banyak kelebihan dalam mengatasi masalah kereta terbiar dengan lebih efisien. Pemilik kenderaan boleh mengakses proses nyah lupus dengan mudah melalui laman web atau aplikasi mudah alih tanpa perlu menghadiri tempat fizikal. Ini tidak hanya menjimatkan masa tetapi juga mengurangkan kesukaran yang mungkin terjadi dengan proses konvensional.
Sistem digital juga membolehkan pengesanan secara real-time terhadap status permohonan. Pemilik kenderaan dapat mengakses maklumat tentang status permohonan mereka pada bila-bila masa, serta memberi mereka kebolehlihatan yang lebih besar terhadap proses tersebut. Selain itu, keselamatan data dan maklumat juga ditingkatkan dengan penggunaan platform digital yang selamat. Proses ini sudah pasti dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan atau kebocoran data yang mungkin timbul dengan proses konvensional.
Sebaik sahaja kereta itu dibatalkan pendaftarannya, ia kemudiannya boleh dilupuskan melalui saluran yang dibenarkan, iaitu di kemudahan rawatan automotif berlesen (AATF), yang memudahkan proses pelupusan dan kitar semula kenderaan lama dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pemilik boleh mengakses laman sesawang JAS untuk makalumat AATF yang terdekat.
Secara keseluruhan, penggunaan kaedah digital dalam proses nyah lupus kenderaan membawa manfaat besar dalam mengatasi masalah kereta terbiar. Inisiatif ini sudah pasti akan meningkatkan kecekapan, aksesibiliti, dan keselamatan proses secara keseluruhan seterusnya dapat membawa negara kita ke arah ekosistem pelupusan kenderaan secara mesra alam dan mapan.-UTUSAN
AHMAD NIZAM CHE KASIM
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)










