PJD Link beri manfaat kepada kontraktor bumiputera

PJD Link beri manfaat kepada kontraktor bumiputera

KOPETA percaya projek PJD Link jika diteruskan dapat memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor bumiputera untuk melibatkan diri. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KOPERASI Melayu Petaling Berhad (KOPETA) yang mempunyai lebih daripada 2,000 ahli ingin menyuarakan sokongan penuh kami terhadap projek lebuh raya PJD Link. KOPETA yang telah terlibat dengan industri pembinaan sejak 2014, yakin bahawa projek lebuh raya PJD Link ini amat berpotensi untuk menjanakan peluang-peluang pekerjaan dan membantu perniagaan bumiputera, khususnya di daerah Petaling.

KOPETA telah mengenalpasti pihak dan sektor yang akan menerima manfaat melalui projek lebuh raya PJD Link seperti peruncitan dan pembekalan makanan terutamanya bagi meningkatkan pendapatan golongan B40. Kedua, tenaga muda kontraktor bumiputera melibatkan golongan profesional seperti jurutera, jurukur bahan, pengurusan kontrak, arkitek, kawalan kualiti dan keselamatan di tapak.

Ketiga, kontraktor-kontraktor kecil bumiputera yang mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja sokongan kepada pembinaan seperti pengurusan trafik, ukur tanah dan keselamatan.

Keempat, graduan-graduan bumiputera yang mempunyai kelulusan dalam bidang berkaitan dalam pembinaan lebuh raya seperti sivil, struktur dan elektrik dan kelima, kontraktor-kontraktor bumiputera yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam kerja-kerja pembinaan lebuh raya.

KOPETA percaya projek lebuh raya PJD Link merupakan satu-satunya projek yang boleh dianggap sebagai projek mega dalam daerah Petaling pada masa ini dan dapat memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor bumiputera untuk melibatkan diri. Kekangan peluang kontrak telah memberikan kesukaran kepada banyak kontraktor-kontraktor bumiputera yang pada masa yang sama bergelut dengan kemelesetan ekonomi.

KOPETA juga bersedia untuk membantu kontraktor-kontraktor bumiputera di daerah ini dari sudut kewangan mahupun teknikal dalam menjayakan projek PJD Link ini.

KOPETA menyeru kerajaan negeri Selangor agar sama-sama membantu melihat kembali projek Lebuhraya PJD Link agar manfaat atau limpahan ekonomi kepada bumiputera khususnya di daerah Petaling ini dapat dicapai. – UTUSAN

A. AZAMAN ARSHAD
Setiausaha/Pengarah Pembangunan
Usahawan KOPETA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×