SAUDARA PENGARANG,
KESELESAAN balik kampung menggunakan lebuh raya sudah tiada lagi kerana pengguna perlu menghadap jutaaan kenderaan dan sesetengahnya memilih jalan alternatif seperti jalan kampung, jalan bandaran atau persekutuan bagi mengelak kesesakan.
Ada juga beberapa cadangan untuk mengurangkan kesesakan terutama di Lebuhraya Karak- Kuala Lumpur seperti menghapuskan pondok tol di Bentong dan Gombak.
Bagi saya, kesesakan di tol Bentong berlaku kerana aliran kenderaaan mendaki dan menuruni bukit menyebabkan kenderaan bergerak perlahan menimbulkan kesesakan melampau dan luar biasa. Jika cadangan menutup tol dibuat, pertambahan aliran kenderaan yang tinggi juga boleh berlaku kerana keadaan rupa bumi kawasan berkenaan yang berbukit.
Sebagai pilihan, saya mencadangkan jalan Kuala Lumpur lama diperbaiki dan dijadikan laluan kedua sebagai jalan alternatif ke Pantai Timur dan ke Lembah Klang terutama di hari perayaan, pada cuti umum dan hujung minggu.
Selain itu, jalan bandaran dan jalan kampung turut menjadi jalan alternatif untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya. Kebanyakan yang menggunakan jalan kampung dan jalan bandar mengakui aliran kenderaan lancar dan tidak tersangkut berjam-jam lamanya.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) perlulah membuat kajian supaya kemudahan jalan perhubungan di negara ini dapat memainkan peranannya agar aspek penyuraian kenderaan berlaku dan bukan sebaliknya.
Sekiranya jalan kampung, jalan bandaran dan jalan persekutuan boleh menjadi jalan pintas dan jalan alternatif kepada masalah kesesakan, maka perbaiki dan menaik tarafkan serta wartakan jalan berkenaan sebagai jalan alternatif.
Kementerian Pengangkutan perlulah proaktif untuk mencari jalan dan kaedah yang sesuai dalam menangani kesesakan di lebuh raya dan jalan persekutuan ini.
Kita janganlah berbangga dengan jaringan sistem pengangkutan yang moden dan menjadi penghubung ke sesuatu tempat dengan mudah, tetapi aspek mudah sampai itulah yang patut diutamakan.-UTUSAN
JALAN TIKUS
Kuala Lumpur










