SAUDARA PENGARANG,
Tidak dapat dinafikan bahawa senyuman itu penting dalam kehidupan seharian. Dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, kos sara hidup yang meningkat dan ditambah lagi dengan ketidakstabilan yang sedang berlaku di Timur Tengah, senyuman dapat memberikan sedikit kelegaan pada tekanan yang sedang dialami oleh semua pihak.
Baru–baru ini seorang pengguna TikTok, Max Petrovsckii meluahkan perasaannya tentang rakyat Malaysia. Dia menjelaskan bahawa rakyat Malaysia kurang senyum antara satu sama lain. Dia turut membandingkan rakyat Malaysia dengan Thailand iaitu tempat tinggalnya, mengatakan dia menerima perhatian yang lebih ketika berada di sana dan rakyat Thailand juga suka memberikan senyuman kepadanya. Video berkenaan menjadi tular dan mula mengundang pelbagai reaksi.
Keadaan cuaca yang panas juga boleh mengundang kepada masalah kurang senyum dan peramah ini. Selalunya, ketika musim panas, rata–rata individu akan mudah rasa marah.
Walaupun semua faktor ini tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan, namun sebagai manusia biasa yang memiliki kelemahan, kita tidak seharusnya menafikan semua faktor ini sebagai punca kenapa ramai orang pada masa kini kurang senyum.
Memandangkan manusia sudah menjadi sensitif dan mudah rasa risau, senyuman yang diberikan terutamanya oleh mereka yang tidak dikenali boleh disalah ertikan sebagai gangguan seksual.
Pada Julai 2022, Dewan Rakyat meluluskan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) selepas lebih 10 tahun ia dirangka. Akta tersebut mempunyai peruntukan bagi hak tebus rugi bagi mana–mana orang yang diganggu secara seksual.
Realitinya keadaan pada masa kini sudah banyak berubah, senyuman biasa tanpa sebarang niat jenayah pun sudah boleh menjadi satu isu jenayah sekiranya pihak penerima (mangsa) melihatnya sebagai satu bentuk gangguan terhadap diri mereka.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










