Larang pamer rokok, vape naikkan kos peniaga

Larang pamer rokok, vape naikkan kos peniaga

LARANGAN mempamer rokok dan vape menyusahkan peniaga dan akan menambah beban kewangan yang besar kepada mereka. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSEKUTUAN Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) berkongsi kebimbangan terhadap perbincangan yang diadakan baru-baru ini mengenai potensi undang-undang pembungkusan biasa dan larangan mempamer rokok dan produk vape di kedai sebagai sebahagian daripada Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan menggesa kerajaan mengadakan perundingan mengenai langkah-langkah yang bakal dicadangkan.

Walaupun FSGMAM memahami bahawa kerajaan berhasrat untuk tidak menggalakkan merokok dan vape, namun langkah sedemikian tidak membantu untuk mencapai objektifnya tetapi sebaliknya mewujudkan kerumitan kepada peniaga dan akan menyebabkan beban kewangan yang besar kepada kedai runcit milik swasta yang selama ini menjadi tulang belakang banyak komuniti di seluruh Malaysia.

Larangan mempamer akan memerlukan peruncit menanggung kos untuk membuat pengubahsuaian di kedai bagi mematuhi peraturan. Ini akan menjadi beban kewangan tambahan yang besar untuk kami dan kami tidak mampu untuk menanggung kosnya.

Ia juga akan menyebabkan pelbagai kerumitan kepada operasi. Memandangkan peruncit perlu membuat pengubahsuaian untuk melindungi produk dan mengelakkannya daripada dilihat, ini bermakna setiap kali pengguna datang untuk membeli produk, peruncit perlu mencari produk untuk meneruskan urus niaga.

Ini akan menjadi lebih teruk dengan spesifikasi pembungkusan biasa di mana setiap produk akan kelihatan sama dalam warna dan bentuk, menjadikannya lebih rumit bagi peruncit untuk mencari jenama atau produk tertentu apabila pengguna memintanya.

FSGMAM percaya kementerian perlu menangani isu rokok tidak sah terlebih dahulu yang menjadi punca dan menyumbang kepada kadar merokok di Malaysia.

Daripada mencetuskan idea mengharamkan pameran produk dan memperkenalkan pembungkusan biasa, kerajaan harus mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha rokok tidak sah untuk mengurangkan kadar merokok. Sebab sebenar ramai rakyat Malaysia masih merokok adalah kerana rokok tidak sah yang dijual pada harga yang sangat murah dan mudah didapati.

FSGMAM melihat cadangan ini sebagai cadangan yang drastik tanpa mengambil kira kesan ke atas operasi runcit dan perundingan mesti diadakan dengan perniagaan runcit.

Kami sudah dua kali menulis kepada Kementerian Kesihatan untuk meminta mesyuarat diadakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan langkah yang dicadangkan mereka. Tetapi sehingga kini, kami tidak menerima sebarang notis daripada kementerian untuk mengadakan sebarang perbincangan.

Adalah tidak wajar bagi peruncit yang merupakan barisan hadapan dan paling terkesan dengan langkah-langkah yang dicadangkan ini untuk tidak mempunyai butiran mahupun maklumat mengenai pelaksanaannya.

Peraturan yang drastik seperti ini merupakan cabaran serius kepada ahli kami, yang sebelum ini sudah pun menghadapi tekanan ekonomi yang tidak dijangka. Langkah-langkah ini bukan sahaja mengancam daya maju perniagaan mereka tetapi juga gagal menangani punca utama merokok, ekoran ketersediaan rokok tidak sah yang murah. Kami menggesa kerajaan untuk mengadakan dialog dan perundingan yang efisien dengan peruncit untuk memastikan semua pandangan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

FSGMAM ingin menjelaskan bahawa peruncit tidak menentang matlamat kementerian untuk menghasilkan peraturan bagi tidak menggalakkan merokok atau vape. Tetapi peraturan itu perlu waras, berkesan dan seimbang supaya ia boleh dikuatkuasakan tanpa kesan yang ketara kepada operasi runcit. – UTUSAN

HONG CHEE MENG
Presiden FSGMAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN